Malaysia Dateline

Mahkamah tolak saman Musa, pembubaran DUN Sabah sah

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan semakan kehakiman 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan itu setelah pendengaran permohonan semakan itu dilakukan di mahkamah pada 7 dan 17 Ogos lalu, lapor Borneo Today.

Dalam permohonan semakan ini, Tun Juhar dan Mohd Shafie diwakili Brenndon, SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan manakala Musa dan 32 ADUN diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Semakan kehakiman itu difailkan oleh Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN lain pada 4 Ogos bagi mencabar keputusan TYT dalam pembubaran DUN Sabah.

Semakan kehakiman itu menamakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.

Pembubaran DUN sabah dilakukan pada 30 Julai setelah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mendapatkan nasihat TYT untuk membubarkan DUN Sabah.

KITA MENANG, KATA SHAFIE

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini adalah satu kemenangan bagi beliau.

Ketika berita ini disiarkan, beliau baru sahaja dimaklumkan perkara itu.

“Peguam Besar Sabah baru menelefon saya, kita menang di mahkamah,” katanya sebelum memulakan ucapan dalam Upacara Pecah Tanah Dataran Sepanggar Kota Kinabalu pagi ini, lapor Borneo Today.

Pengumuman beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata 12 September pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 22 September adalah tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 26 September.