Malaysia Dateline

Mahmood Adam, Aziah dan Alizatul anggota EAIC yang baru

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan tiga anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Pelantikan itu katanya akan melengkapkan barisan EAIC sedia ada yang diterajui Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi, Tan Sri Datuk Zainun Ali (Timbalan Pengerusi), Datuk John Louis O,’hara dan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Menurut kenyataan, pelantikan empat anggota EAIC itu mengikut Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

“Barisan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ini pasti akan terus memacu matlamat dan komitmen EAIC memartabatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan seliaan,” katanya.