Mahu buang ‘saka malas’ keluar bersenam, ini lima tips mula berjoging capai berat badan ideal

Oleh ARIF ATAN

Ada yang ‘pm’ tanya saya macam mana dia nak ada semangat untuk mula bersenam dan berjoging. Dia juga teringin nak mendaki (hiking) tapi berjoging pun dah macam ada ‘saka malas’ menguasai badan.

Bila saya tanya kali terakhir dia berjoging masa zaman kampus. Ada bersenam tak, jalan kaki di kawasan kejiranan ke? Takde, jawabnya.

Malah, kedai Acheh dekat tu pun, dia bawak kereta. Sekarang menghampiri 40-an dan mengalami masalah berat badan berlebihan.

Dia rasa macam mustahil mampu nak lari tapi dalam masa sama dia bimbang pula kalau tua nanti, dapat penyakit tiga serangkai sampai menyusahkan anak-anaknya.

Alhamdulillah, dia dah mula sedar dan terlintas nak mula bersenam dan berlari.

Jangan pernah rasa mustahil apalagi terus bela ‘saka malas’ untuk keluar bersenam tu. Bagi kawan-kawan yang terlintas niat mula nak bersenam/berjoging/mendaki bukit, saya kongsikan 5 tips dulu buat pemula untuk berlari dengan selamat dan berkesan turunkan berat badan:

1️⃣ Kasut – Beli sepasang kasut untuk berjoging. Kalau tak reti atau was-was beli yang online, boleh beli di Decathlon (tak pasal-pasal bagi iklan percuma pulak 😆). Di situ ada semua kelengkapan untuk sukan dengan harga berbaloi dan paling penting berkualiti.

2️⃣ Jam tangan penjejak kecergasan – Beli satu jam tangan yang ada fungsi pengesan kadar degupan jantung (HR). Beli yang murah dulu sebagai permulaan. Kita bukan atlet pun 😅.

Jam ini bagus jadi panduan pastikan kita semasa sesi joging sentiasa dalam julat HR yang sepatutnya mengikut umur. Malah, kita boleh lihat perkembangan aktiviti larian dari semasa ke semasa untuk ditambah baik.

Banyak kes mati mengejut ketika berlari, main badminton, hiking kena serangan jantung sebab dia tak sedar dah melampaui zon merah kadar HR selain memang dah ajal, kan…😭

3️⃣ Sikit-sikit dulu – Mulakan berjoging sekali seminggu kemudian dah lama nanti berselang hari, 30 minit saja dulu di taman awam atau sekitar kejiranan anda yang ada kawasan lapang, hutan belukar sikit. Boleh variasikan pergerakan. Macam biasa, wajib buat pemanasan dan regangan kaki dan tangan. Selepas tu mula berlari perlahan, berselang seli berjalan kaki saja dulu. 🏃🚶

Tentang hasrat nak cuba hiking tu, tangguh dulu. Sebabnya, hiking dah kira aktiviti lasak, ekstrem. Tapi kalau di KL tu, boleh cuba Taman Tugu. Boleh bawak anak-anak sama.

Kalau di Taman Tugu itu pun, anda rasa nak tercabut nyawa mencungap, serius, anda kena konsisten bersenam, berjalan kaki saja mungkin untuk berbulan-bulan dulu. Latih diri dulu, jangan terus hiking ikut trend. Amat bahaya dengan tahap stamina anda sekarang.

4️⃣ ‘Slow & steady’ – Nama pun berjoging, kan? Lari perlahan-lahan. Seeloknya melawan arus kenderaan.

Buka langkah tu jangan besar-besar. Hirup udara segar, nikmati sinar mentari pagi, lihat alam hijau, langit biru, awan berjajaran anugerah Tuhan sambil ucaplah Subhanallah, bukan nak masuk sukan Olimpik pun lari laju-laju kejar ‘pace’. 🤣 🌳🌴🌿

5️⃣ Jaga makan – Eh, apa kena mengena dengan berjoging ni? 😅 Begini, tujuan anda lari ‘kan nak sihat, turunkan berat badan, ‘kan? Tapi 80% nak capai hasrat itu datang dari diet pemakanan sihat. 20% saja dari aktiviti kecergasan. 🍔🍟🍩🍰🍦🧃❌

Makan nasi tengah hari saja. Kurangkan minum air manis dan ganti dengan jus buah yang anda buat sendiri. Kurangkan sama makanan berproses, bergoreng dan berlemak. Jauhi diri dari singgah gerai pisang goreng tepi jalan tu. Tun Dr Mahathir yang harta tujuh keturunan tak habis tu pun, berhenti makan sebelum kenyang. 😁

Selamat bersenam mengikut kemampuan diri. Selamat berjoging dengan selamat tanpa cedera.

Oh ya, untuk tujuan motivasi diri sendiri, anda hargailah diri selepas habis berlari tu, dengan berselfie dan kongsi di media sosial. 🤣

Jangan kongsi gambar makan saja untuk Malaysia yang dah memang syurga makanan tapi neraka segala jenis penyakit kardiovaskular antara yang tertinggi di dunia ni. 😲

Serius, selepas setahun kalau disiplin dan konsisten, anda akan lihat perubahan diri yang lebih baik dan impian anda dapat berat badan ideal ikut indeks BMI akan tercapai juga akhirnya.

Yang penting, sabar, jangan malas dan konsisten sekali seminggu waktu hari anda cuti kerja.

Dari situ nanti, dapat sama bantu ‘pulihkan semangat’ kawan-kawan anda yang lain juga untuk sama mengamalkan gaya hidup sihat. 😊