Malaysia Dateline

Terdesak mahu cari duit, lebih 300 penduduk bantah PKPD kali ketiga

Tidak tahan dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lebih 300 penduduk di Kampung Baru Pasir Putih berhimpun membantah keputusan kerajaan itu.

Perhimpunan hampir tiga jam itu bermula jam 7.30 malam tadi susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melanjutkan tempoh PKPD di lokaliti itu selama dua minggu lagi bermula esok sehingga 12 Mei depan.

Majoriti penduduk tidak berpuas hati kerana kehilangan sumber pendapatan memandangkan sebelum ini kampung mereka sudah dikenakan PKPD bermula pada 1 April hingga 14 April sebelum dilanjutkan lagi sehingga 28 April.

Rakaman video aksi protes penduduk terbabit yang dikongsikan aktivis Mukmin Nantang menyaksikan perhimpunan berlangsung aman dengan dikawal pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Walaupun mendapat bantuan bakul makanan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan sumbangan wakil rakyat, tetapi penduduk tidak berpuas hati dengan pelanjutan PKPD memandangkan dibebani tanggungan termasuk hutang bank, kereta dan sewa kedai bagi yang berniaga.

LANJUT MENYUSUL

Penduduk merayu agar PKPD ditamatkan bagi membolehkan mereka keluar bekerja mencari nafkah.