Mahu duit kami semula, rayu 16 kontraktor kepada kerajaan

Mahu duit kami semula, rayu 16 kontraktor kepada kerajaan

Sudah dua tahun sekumpulan kontraktor menuntut pihak kerajaan menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM26 juta selepas mereka menyiapkan pembinaan kilang dandang wap (steam boiler) yang terletak di Kerteh, Terengganu.

Sudah dua tahun sekumpulan kontraktor menuntut pihak kerajaan menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM26 juta selepas mereka menyiapkan pembinaan kilang dandang wap (steam boiler) yang terletak di Kerteh, Terengganu.

Namun, selepas lebih 20 kali rundingan dengan pelbagai pihak berkaitan sejak 29 Disember 2014 lalu, kesemua 16 kontraktor terbabit semakin buntu menanti bilakah segala janji dan jaminan akan ditunaikan.

Wakil kontraktor terbabit, Ir Khalil Ishak berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) sebelum ini berjanji akan menyelesaikan bayaran terbabit.

“Kami sudah banyak kali berbincang dengan pihak kerajaan seperti Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), BiotechCorp dan MOF (Kementerian Kewangan) sehinggalah pada 1 Ogos lalu, kami telah menghantar surat kepada Perdana Menteri.

“Malangnya, sampai hari ini (26 Ogos) jangankan maklum balas, kami diberitahu bahawa kerajaan tidak akan membayar kontraktor atas arahan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Ghani. Ini amat mengejutkan,” ujarnya pada sidang media, Jumaat lalu.

Yassin Salim Menurut Khalil, reaksi menteri berkenaan amat mengecewakan kontraktor terbabit memandangkan kerajaan sebelum ini telah memberi komitmen akan menyelesaikan isu mereka termasuk melalui mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada Mac 2015 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Tiga arahan untuk BiotechCorp laksanakan iaitu mengambil alih operasi kilang dandang wap, membayar segala hutang kontraktor yang bernilai RM26 juta serta menyelesaikan bayaran ‘shareholdership’ dengan pemilik asal,” jelasnya.

Beliau memberitahu, NSE Energy Sdn Bhd (NSEE) sebagai pemilik asal kilang itu tidak mampu membayar hutang bernilai RM26 juta kepada semua kontraktor dan konsultan terlibat walaupun kilang di Kerteh Bio Polymer tersebut sudah beroperasi mulai Julai 2014.

“Kami hanya mahu duit kami semula. Kami sudah buat banyak pelaburan untuk menjayakan projek ini. Sekarang, akibat bayaran tertunggak sebahagian daripada kami sedang diburu Ah Long selain ada yang kereta ditarik bahkan anak kelaparan tidak makan,” keluhnya pada sidang media, kelmarin.

Mengulas lanjut, Khalil melalui syarikatnya sahaha dengan tuntutan bayaran sebanyak RM2.94 juta itu berkata, pihak mereka telah membuat laporan polis pada 24 Disember 2014 bagi mendesak pihak pengurusan kilang NSEE menyelesaikan tunggakan terbabit.

“Akibat masalah bayaran ini, projek itu yang mulanya mahu diambil alih kerajaan negeri tetapi tidak jadi sebaliknya kerajaan persekutuan iaitu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) ambil alih dan serahkan kepada Biotech Corp,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang kontraktor Yassin Salim berkata, kali terakhir mereka dijanjikan bayaran akan diselesaikan adalah sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Tapi sampai sekarang janji tinggal janji. Kami kecewa bagaimana proses membuat keputusan di pihak kerajaan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Malaysia Dateline pada 31 Julai lalu melaporkan pendedahan salah seorang kontraktor terbabit, Lily Surya, 40, yang berdepan masalah kewangan kritikal termasuk anaknya terpaksa berlapar ekoran kegagalan pihak kerajaan melunaskan tunggakan bayaran tersebut.

TAGS