Mahu jadi negara maju, gaji masih rendah, akui MTUC

Mahu jadi negara maju, gaji masih rendah, akui MTUC

Tangga gaji pekerja di negara ini masih rendah walaupun empat tahun sahaja lagi untuk Malaysia bergelar negara maju, akui Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agungnya, N Gopal Kishnam berkata, pekerja di negara ini sepatutnya mempunyai pendapatan sebanyak RM5,000 bagi menepati hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju.

“Pada masa ini, 65 peratus pekerja bawahan membawa pulang kurang RM3,500 sebulan,” ujarnya dipetik daripada laporan akhbar hari ini.

Menurutnya, inisiatif di peringkat pekerja bagi meningkatkan pendapatan mereka dengan bekerja sambilan sukar dilakukan memandangkan kebanyakan kerja peringkat bawahan dikuasai pekerja asing.

Sehubungan itu, Gopal menggesa kerajaan supaya mencari jalan melakukan penstrukturan semula gaji bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Ditanya tentang langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan caruman pekerja, beliau berkata, Panel Pelaburan KWSP harus mencari sumber yang membawa lebih pendapatan untuk dinikmati pencarum melalui pembayaran dividen.

“Baru-baru ini, KWSP menyatakan pelaburan di luar negaranya membawa pulangan yang besar dan ini boleh diteruskan. Dalam masa sama kita memerlukan kembali pelaburan dalam negara,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, antara pelaburan KWSP di luar negara termasuk di Singapura dengan menguasai 20 peratus kepentingan dalam projek pembinaan Pusat Tanjung Pagar bernilai RM9.7 bilion.

Menyedihkan

Pada masa sama, pihak KWSP turut mengakui realiti persaraan di negara ini yang agak menyedihkan memandangkan 78 peratus pencarum tidak mempunyai asas caruman mencukupi selepas tidak lagi bekerja.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff memberitahu 65 peratus daripada 6.7 juta pencarum yang aktif mempunyai simpanan kurang RM50,000.

Menurutnya, baki daripada mereka yang berusia 54 tahun memiliki simpanan mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih bagi menampung kehidupan dalam tempoh bersara.

Berdasarkan definisi KWSP, jelasnya, pencarum yang mempunyai simpanan RM50,000 hanya boleh bertahan selama lima tahun sebelum kehabisan jika berbelanja hanya RM820 sebulan.

“Itupun jika mereka boleh bertahan hidup dengan RM820 sebulan. Kita tahu jumlah itu tidak cukup, mungkin anda boleh berbelanja untuk barangan runcit dan itulah realiti kehidupan hari ini,” tambah Balqais lagi.

TAGS