Satu perkara yang menjadi sunnah Rasulullah SAW adalah berkata benar. Orang yang berkata benar tentunya akan menyusulinya dengan tindakan yang benar juga, selari dengan apa yang dia kata.
Sifat jujur dan amanah inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW disukai oleh kaumnya walaupun ketika itu baginda belum dilantik menjadi rasul. Malah, baginda dipilih untuk menyelesaikan masalah mereka sesama sendiri.
Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu dan menyeru kepada tauhid dan melawan syirik, baginda mula ditentang.
Oleh sebab pihak yang menentangnya yang diketuai oleh Abu Jahal tidak boleh menangkis hujah-hujah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, mereka pun melabelkan baginda dengan pelbagai label bagi menghapuskan nilai hujah Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.
Abu Jahal dan gengnya menggelar baginda orang gila, ahli sihir, penyair dan pelbagai gelaran lagi.
Allah SWT telah membersihkan baginda melalui firman-firman di dalam al-Quran seperti ayat 69 surah Yassin dan ayat 22 surah At-Takwir.
Sekarang, gejala label-melabel ini sudah menjadi macam satu amalan biasa dalam kalangan umat Muhammad SAW. Mereka lupa bahawa ini sebenarnya sunnah Abu Jahal dan geng-gengnya. Mengapa perkara ini berleluasa?
Melabel menjadi jalan keluar yang mudah kepada orang yang tidak mampu membawa dalil dan hujah untuk mempertahankan kenyataan dan dakwaan mereka.
Apabila pihak satu lagi dilabelkan dengan label-label yang dianggap buruk, adalah diharapkan khalayak tidak lagi akan memberi perhatian kepada hujahan orang yang dilabelkan itu walaupun mereka berhujah dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Kita berada pada zaman maklumat. Setiap kenyataan, sama ada dari sesiapa pun termasuk yang berjubah dan berserban besar, boleh disemak silang oleh sesiapa sahaja yang mahu menilai kenyataan demikian dan tidak taksub kepada tubuh badan seseorang.
Ini menyebabkan orang yang dahulunya berpengaruh kerana merapu sudah susah untuk mempertahankan pengaruh masing-masing.
Maka untuk mengekalkan pengaruh mereka dalam kalangan pengikut-pengikut yang ta’asub, sunnah Abu Jahal digunakan. Wujudlah label-melabel. Ini juga berlaku dalam kalangan ahli politik dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan hujah serta pengaruh.
Mereka yang mengaku cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW tentunya akan cuba mengikut sunnah yang sahih dari baginda, bukannya sunnah yang diada-adakan. Jauh sekali sunnah musuh baginda seperti Abu Jahal.
Jika semua yang mengaku cinta dan kasih kepada nabi ini jujur, tidak banyaklah label-melabel dalam masyarakat yang sanggup berarak untuk menzahirkan cinta kepada Rasulullah SAW.
Akan menjadi satu perkara yang pelik dan ajaib sekiranya orang yang mencuri dan menyalahgunakan amanah masih popular dalam kalangan masyarakat yang mengaku cinta kepada Rasulullah SAW.
Bukankah salah satu ciri rasul itu ialah amanah dan baginda pernah menegaskan jika anak perempuan kesayangan baginda Fatimah mencuri, baginda akan memotong tangan Fatimah?
Jadi, syiar mana atau sunnah mana yang dijadikan asas untuk menyayangi orang-orang yang pecah amanah dan mencuri ini? Layakkah orang-orang sebegini diberi kepercayaan seperti diundi di dalam pilihanraya?
Kepercayaan kepada Rasulullah SAW adalah sebahagian dari rukun ini. Ianya kena benar-benar diyakini, bukan setakat sebutan sahaja.
Jadi, jika laungan cinta kepada baginda diikuti dengan sikap dan amalan yang bercanggah dengan apa yang baginda ajar, bukankah itu satu bendera merah yang memerlukan kita menyemak apa yang kita yakini di dalam jantung hati masing-masing?
Baca juga Selepas Umno setuju bubar Parlimen tahun ini, Pas anggap PRU15 dalam tempoh terdekat tidak wajar
Baca juga Duit ada semua boleh jalan? Ini kisah Burj Khalifa dan Jalur Gemilang