Mahu lindungi diri di hari Akhirat, ketua kartel dadah ditanam dengan ratusan senjata api

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu upacara pengebumian melibatkan seorang ketua kartel dadah telah berjaya menyita perhatian daripada orang ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, ketua kumpulan kartel yang terkenal dengan gelaran ‘El Fatal’ itu dikebumikan bersama ratusan senjata api berbahaya iaitu pistol dan senapang.

Bukan mahu menunjukkan kuasa walaupun sudah meninggal dunia, lelaki itu ditanam bersama senjata dengan tujuan untuk melindungi dirinya sendiri di alam Akhirat.

Upacara pengebumian lelaki itu mula mencuri tumpuan apabila rakaman yang memaparkan pengikutnya memasukkan senjata di dalam keranda tular di media sosial.

Memetik laporan New York Post, mangsa bernama Julian Sevillano itu merupakan ketua kumpulan Los Fatales iaitu kartel dadah yang terkenal di Ecuador.

Sebelum ditemui meninggal dunia, Sevillano difahamkan sedang mengunjungi tempat cuci kereta bersama anak perempuannya yang baru berusia 20 tahun.

Sevillano yang turut ditemani oleh seorang pengawal peribadi itu kemudian diserang hendap secara tiba-tiba oleh lelaki bersenjata tidak dikenali.

Ketua kartel itu maut sejurus kejadian tembak-menembak berlaku, manakala anak gadisnya pula disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital di Quevedo.

Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian dilaporkan telah dihalang oleh ahli keluarga ketika mahu membawa jasad Sevillano ke hospital untuk dibedah siasat.

Mereka sebaliknya menjalankan upacara pengebumian secara besar-besaran sehari selepas kejadian yang dihadiri oleh ahli keluarga dan pengikut kumpulannya.

Khuatir sekiranya kematian ketua kartel itu bakal mencetuskan tindakan balas yang lebih ganas, pihak polis kini sedang giat berkawal dan menjalankan rondaan.

Turut mendapat kerjasama daripada pihak askar, rondaan tersebut dipercayai dilakukan di seluruh wilayah Los Rios yang terletak Mocache, Ecuador.

Baca juga: Dua ahli politik bertumbuk ketika debat siaran langsung, gaduh selepas masing-masing tuduh ‘penjilat’