Malaysia Dateline

Mahu selamatkan diri, Saifuddin tuding jari pada PH

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad menolak dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) membuat lantikan politik ketika melantik Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah yang ketika itu sedang berbalah dengan netizen, disifatkannya sebagai hujah yang ingin melepaskan dirinya sendiri.

Khalid berkata, pelantikan Kok Wai pada hakikatnya dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet untuk menangani beberapa isu dengan Negara China termasuk rundingan harga projek ECRL.

“Menyamakan pelantikan yang dibuat dengan apa yang dilakukan oleh Perikatan Nasional ketika ini adalah satu pembohongan yang amat nyata.

“Seingat saya dalam mesyuarat Kabinet lalu, isu dengan negara China ini memang sensitif. Banyak projek yang diputuskan Najib (Razak) membabitkan harga tinggi yang kita perlu runding balik.

“Isu utama adalah ECRL kerana ia melibatkan kontrak yang sudah ditandatangani. Maka kita perlu tumpukan usaha untuk menangani hubungan dengan China.

“Oleh kerana itulah, perlu adanya Duta Khas ke China. Apa yang telah dipersetujui, duta khas ini tidak bertaraf Menteri. Ianya dilantik atas sebab keperluan yang wujud ketika itu,” Jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, dalam satu perbalahan di laman Facebook rasmi Saifuddin, beliau membangkitkan keraguan pentadbiran PH dalam komitmennya membanteras rasuah.

Saifuddin juga berkata, PH pada satu ketika pernah menentang lantikan politik tetapi didakwa melanggar ikrar mereka.

Sementara itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, berbeza dengan PN, Duta Khas ke Timur Tengah pula dilantik walhal negara sama sekali tidak mempunyai masalah dengan rantau tersebut.

Malah katanya, sama juga berlaku apabila PN melantik Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, dalam keadaan di mana kebanyakan isu telah pun ditangani PH.

“Mereka tak perlu satu pelantikan duta khas untuk tangani hubungan kita dengan Timur Tengah kerana kita tidak ada masalah.

“Begitu juga dengan pelantikan duta khas China baru-baru ini. Itu agak pelik kerana kebanyakan isu telah pun kita tangani.

“Pelantikannya juga tak boleh lah bertaraf Menteri seperti mana yang dilakukan. Nampak sangat PN ini buat untuk menambat hati penyokong dia supaya bila ke Parlimen, dia tak hadapi masalah,” ulasnya

Ahli Parlimen Shah Alam itu, turut menganggap komen yang dilemparkan Saifuddin sekadar mahu menyelamatkan dirinya sendiri dengan hujah tidak munasabah termasuklah soal rasuah dan perompak.

Beliau berkata, jika Saifuddin tahu wujudnya penyelewengan dalam pentadbiran, beliau seharusnya bersuara oleh kerana beliau juga adalah ahli Kabinet PH ketika itu.