Malaysia Dateline

Mahu tak mahu kena gubal akta anti lompat, MP belum cukup integriti

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali menyarankan agar undang-undang lompat parti segera digubal ekoran fenomena wakil rakyat melompat parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara lain yang tidak mempunyai akta berkenaan kerana secara realitinya Malaysia tidak stabil dan boleh terjadinya banyak kerajaan yang dibentuk dalam satu terma pemerintahan.

Beliau membandingkan dengan negara luar yang menurutnya kebanyakan antara mereka sudah pun maju dengan ekonomi yang cukup kukuh, maka tiada kesan walaupun kerap berlaku pertukaran kerajaan

“Di UK walaupun tiada akta lompat parti, tetapi mereka ada mekanisme di mana pengundi di kawasan Parlimen jika tidak berpuas hati, dan dengan peratusan pengundi tertentu boleh berkuasa untuk mengosongkan kerusi pemimpin yang dipilih itu.

“Tapi di Malaysia, tiada mekanisme sedemikian. Pemimpin yang dipilih boleh secara budi bicaranya untuk berada di mana-mana pihak.

“Ini menyebabkan ketidakstabilan politik dengan permainan politik yang tidak bermoral. Mungkin boleh dikira sebagai kesalahan jenayah kerana melibatkan rasuah jawatan untuk mereka bertukar pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamir Ghazali

Pada masa zama Zamir berkata, dalam tempoh 20 tahun ini, tindakan lompat parti telah menyebabkan runtuhnya kerajaan sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2009 melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak, apabila dua Adun PKR dan seorang Adun DAP melompat.

Terbaharu pada 2020 apabila runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah berlaku pengkhianatan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa Ahli Parlimen dari PKR.

Beliau menegaskan, tindakan melompat parti semakin mudah dilakukan kerana sehingga hari ini tiada tindakan diambil terhadap mana-mana wakil rakyat yang bertindak sedemikian sama ada di peringkat Dun atau Parlimen.

Ini katanya, akan menyebabkan pengundi rasa dikhianati dan hilang kepercayaan terhadap demokrasi, selain parti terlibat akan berdepan masalah kesan tindakan tersebut.

“Asasnya, mahu tak mahu, amalan demokrasi masih belum matang, Ahli Parlimen belum cukup berintegriti dan berpendirian teguh.

“Oleh yang demikian, undang-undang anti lompat parti amat relevan dan diperlukan di Malaysia,” jelasnya lagi.