Malaysia Dateline

Mahu tempah vaksin tapi ‘Aida’ ajak bual tentang mayat

Seorang pengguna laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my berkongsikan pengalamannya membuat tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca.

Namun, bagi ruangan ‘Sila Pilih Lokasi PPV (Pusat Pemberian Vaksin) dan Tarikh’, laman yang mula diakses oleh Kamal jam 12.08 tengah hari itu sebaliknya memaklumkan:

“Maaf, semua slot telah penuh tetapi anda masih boleh klik di tarikh/PPV tersebut untuk dimasukkan dalam senarai menunggu,” kata laman versi bahasa Melayu dengan tiga lagi pilihan bahasa itu.

Namun, laman web tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas tarikh dan PPV itu diklik.

Dalam masa sama, terdapat klik untuk menghubungi ‘Aida’ di sisi kanan laman tersebut dengan kapsyen, “Selamat sejahtera, boleh AIDA bantu anda? Klik untuk berbual dengan AIDA”.

Apabila diklik bahagian itu dengan memberitahu tidak dapat memilih lokasi PPV dan tarikh, ‘Aida’ hanya menjawab salam secara penuh.

“Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarokatuh,” balas Aida.

Walaupun tidak sampai 10 minit laman web JKJAV dibuka untuk tempahan semua slot dimaklumkan sudah penuh.

Sementara itu, terdapat senarai beberapa cadangan soalan yang boleh disampaikan kepada Aida di bahagian bawah laman web tersebut.

Apabila Kamal mengklik soalan, “bilakah saya akan tahu butiran mengenai temu janji saya?”, Aida menjawab:

“Penerima vaksin akan mendapat pengesahan tarikh dan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dua minggu sebelum tarikh yang ditetapkan. Dalam tempoh dua minggu ini, penerima vaksin akan diberi peringatan sama ada melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau SMS.”

Selanjutnya, Kamal bertanyakan, “Kalau tinggal di Hulu Selangor, suntikan vaksin dibuat di mana?”

Walau bagaimanapun, lain yang ditanya, lain yang dijawab. Aida menerangkan tentang RNA pengutus (mRNA) seperti seorang guru Biologi:

“Vaksin mRNA tidak akan mengubah DNA seseorang. Vaksin RNA mengandungi messenger RNA (mRNA) yang memberi kod untuk protein khusus untuk permukaan patogen COVID-19.

“Badan manusia menggunakan mRNA ini untuk membina salinan proteinnya sendiri yang mana sistem imun bertindak balas dengan menghasilkan antibodi yang memberikan perlindungan sekiranya orang itu dijangkiti penyakit COVID-19 kemudian.”

Tidak berputus asa dengan maklum balas ‘Aida’, Kamal bertanyakan tentang jangkaan bila kesan sampingan terhadap tubuh selepas suntikan vaksin itu akan hilang.

Namun, Aida gagal menjawabnya dan meminta Kamal menghubungi pihak JKJAV melalui tujuh saluran disediakan:

“Soalan yang anda tanya, tidak ada di dalam pangkalan data kami buat masa ini, untuk keterangan lanjut, sila hubungi kami melalui saluran seperti di bawah:
i. Telefon: 1800-888-828
ii. Email: [email protected]
iii. Youtube: https://www.youtube.com/channel/UCUMh8-xoA1Rl9WLhBOxT4yA
iv. Facebook: https://www.facebook.com/jkjavmy
v. Twitter: https://twitter.com/jkjavmy
vi. Instagram : https://www.instagram.com/jkjavmy
vii. Portal : https://www.vaksincovid.gov.my”

Agak tidak berpuas hati dengan siri maklum balas Aida, Kamal sekali lagi mengulangi kembali soalan, “macam mana nak pilih lokasi dan tarikh?”

Kali ini, jawapan Aida agak mengejutkan!

“Maaf, saya tidak dapat mengenalpasti topik perbualan anda yang berkenaan dengan skop perkhidmatan saya.

“Adakan anda ingin meneruskan perbualan menggunakan topik yang lepas iaitu: ”mayat”?”

Untuk rekod, tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara sukarela dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari tadi.

Setakat ini, Malaysia sudah menerima 268,800 dos vaksin AstraZeneca pada 23 April lalu, dengan penerima memerlukan dua dos vaksin bagi mendapat perlindungan lengkap daripada Covid-19.