Mahu tolong Melayu P Pinang, Ku Nan tersalah negeri

Mahu tolong Melayu P Pinang, Ku Nan tersalah negeri

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor seharusnya berterus-terang terhadap rakyat Pulau Pinang bahawa Umno-BN sanggup melakukan apa sahaja bagi menghalang Pakatan Harapan terus mentadbir negeri itu termasuk menjadikannya sebahagian Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Segambut daripada DAP Lim Lip Eng berkata, jika Adnan berhasrat ‘menolong Melayu’, beliau mungkin tersalah negeri dan lebih baik memberi fokus kepada Kelantan dan Terengganu yang majoritinya Melayu dan antara negeri yang miskin dalam negera.

“Ku Nan seharusnya mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan Majlis Raja-Raja dan seterusnya mengadakan referendum di Kelantan dan Terengganu, supaya kedua-dua negeri tersebut dijadikan wilayah di bawah pemerintahan Kementerian Ku Nan sendiri.

“Ini kerana kedua-dua negeri yang majoriti Melayu ini adalah antara negeri paling miskin dalam negara. Paling tidak Ku Nan harus terkedepan dalam usaha mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan, agar negeri itu boleh berhenti menjalankan aktiviti balak secara berleluasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Adnan dilaporkan Bernama sebagai berkata, idea untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan adalah bermatlamat untuk memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Beliau berkata idea yang dilontarkan itu bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu di sana.

“Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu,” katanya, memetik laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Lim berkata jika Umno-BN betul-betul serius mahu mengurangkan beban rakyat yang sangat-sangat memerlukan, Adnan harus sedar bahawa bukan di Pulau Pinang sahaja terdapat rakyat yang susah.

“Ramai lagi yang susah, termasuk para OKU, warga emas, penganggur dan gelandangan di seluruh Malaysia, malah ramai berpusat di Kuala Lumpur yang ‘diperintah’ Ku Nan.

“Mereka seharusnya dibantu agar dapat membeli barang dapur tanpa dikenankan cukai GST, contohnya. Sewaktu kerajaan BN membebani rakyat dengan GST, tidak pula Ku Nan terfikir untuk membantu orang Melayu yang ikut terbeban.

“Kalaulah benda sebegini mudah pun Ku Nan tidak boleh buat, apa sahaja cadangan yang datang daripada BN untuk ‘membantu’ Melayu susah adalah tidak lain sekadar gimik pilihan raya,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)