Maidam perkenalkan semula program lahirkan ulama hebat

Maidam perkenalkan semula program lahirkan ulama hebat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan semula program melahirkan ulama dan pegawai agama hebat di negeri ini.

Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata sebagai permulaan seramai tujuh pelajar yang mencapai semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpilih untuk menyertai program Institusi Ulama pada tahun ini.

Katanya, pada awalnya Maidam menyasarkan seramai 20 pelajar, tetapi hanya tujuh terpilih dan layak untuk menyertai program berkenaan.

“Melalui program tersebut Maidam akan menawarkan biasiswa kepada pelajar berkenaan untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

“Pelajar ini akan melanjutkan pelajaran di universiti di Jordan untuk mendapatkan ijazah dan menyambung pengajian di universiti dalam negara ke peringkat master dan akan ke universiti negara barat bagi menyambung pengajian ke peringkat PhD,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan Kadar Fitrah Bagi Negeri Terengganu di Pejabat Maidam hari ini.

Shaikh Harun berkata, sebelum ini Maidam telah menaja 13 pelajar melalui program tersebut yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai peringkat yang diperkenalkan pada tahun 2011 namun ia tidak diteruskan selama dua tahun (2014 dan 2015).

Beliau mengakui bahawa pada masa ini Terengganu ketandusan ulama, walaupun setiap tahun dapat melahirkan ramai pelajar cemerlang melalui Sekolah Imtiaz yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

“Tetapi apabila ingin mengisi kekosongan jawatan seperti Mufti, Imam Besar atau pegawai agama, amat sukar untuk mencari calon,” katanya.

Beliau berkata, melalui program itu nanti, Maidam berharap dapat melahirkan ulama dan pegawai agama yang hebat sekurang-kurang tiga, empat orang setahun.

Katanya, Maidam akan menubuhkan sebuah lagi Madrasah Moden Maidam di kawasan selatan negeri ini pada tahun depan.

Tiga madrasah moden telahpun ditubuhkan  iaitu  di Kuala Nerus, Besut dan Hulu Terengganu.

Pada majlis itu Maidam turut menerima sumbangan zakat bernilai RM60,514 daripada Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (KPSMZA), Dungun yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi KPSMZA kepada Shaikh Harun.

TAGS