Pemakaian pelitup muka sudah banyak dilonggarkan di kawasan tumpuan ramai berikutan kes Covid-19 yang semakin berkurangan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melonggarkan pemakaian pelitup muka di masjid dan surau di seluruh negeri.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail memaklumkan mengenai kelonggaran tersebut.
Beliau menyatakan bahawa kelonggaran itu bagi membolehkan umat Islam mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.
Bagaimanapun, individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selesema selain golongan berisiko tinggi digalakkan memakai pelitup muka.
“Kelonggaran pemakaian pelitup muka di masjid dan surau diberikan selepas mendapati kadar kemasukan pesakit kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi (ICU) semakin berkurangan.
“Selaras dengan perkembangan semasa dan selepas mendapat pandangan daripada Jabatan Kesihatan negeri serta Majlis Keselamatan negara (MKN), Sultan Mizan berkenan membuat ketetapan berkenaan,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan semalam.
Shaikh Harun berkata, Sultan Mizan juga menyeru seluruh rakyat menjaga dan meningkatkan kebersihan diri serta keluarga, terutama sepanjang Ramadan.
Pada masa sama, beliau meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Terengganu agar membuka rumah ibadat itu sepanjang Ramadan.
Tambahnya, ini adalah untuk menggalakkan umat Islam beribadah pada sebelah malam.
Baca juga: Hanya pandai berpidato, Pemimpin PKR cabar Abdul Hadi Awang hadir ke parlimen