Malaysia Dateline

Maimunah ke Nairobi, Tung Seang pengganti Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Pelantikan Ar. Yew Tung Seang (foto) sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah dijangka banyak pihak kerana bekas setiausaha bandaraya tersebut memang dikenali sebagai individu yang mempunyai pengalaman luas.

Tung Siang menggantikan Datuk Maimunah Mohd. Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Program Habitat – UN di Nairobi, Kenya bermula pada 20 Januari ini.

Pelantikan Tung Seang berkuatkuasa 20 Jan, dan acara istiadat mengangkat sumpah penerimaan jawatan tersebut akan dilangsungkan pada 22 Jan ini.

“Saya menerima pengumumkan pelantikan jawatan ini dengan perasaan penuh rendah diri,” ujar Tung Seang dalam sidang media bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Hadir sama ahli-ahli Exco kerajaan negeri dan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Dalam pada itu pengarah kejuruteraan MBPP Ir. Addnan Mohd. Razali diumumkan sebagai setiausaha MBPP menggantikan Tung Seang.

Dalam majlis berasingan, Maimunah menyatakan hasrat untuk mempopularkan kejayaan Pulau Pinang sepanjang berkhidmat di Nairobi, Kenya.

“Di kediaman rasmi saya dekat Nairobi, Kenya nanti, saya berhasrat untuk mewujudkan sudut pameran khas mengenai kejayaan serta pengiktirafan dunia terhadap Pulau Pinang termasuk berkait MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai), MBPP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan GTWHI (Perbadanan George Town Warisan Dunia),” ujarnya di majlis jamuan perpisahan anjuran ketua menteri di restoran atas puncak Komtar, 16 Jan lalu.

Majlis tertutup itu dihadiri ahli-ahli Exco kerajaan negeri dan setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Farizan Darus.

Maimunah dilantik pengarah eksekutif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) bagi Program UN-Habitat, dan akan mula melaporkan diri di Kenya pada 20 Januari ini.

Guan Eng ketika berucap melahirkan harapan agar Maimunah terus membawa jenama Pulau Pinang di peringkat global.

Farizan ketika berucap mengimbas beberapa kelebihan Maimunah ketika menjawat datuk bandar.

Guan Eng sampaikan cenderamata kepada Maimunah dalam jamuan perpisahan di Menara Komtar.