Malaysia Dateline

MAINPP gesa sebuah parti politik henti kutip ‘infaq wajib ramadan’

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menggesa sebuah parti politik di negeri ini yang didakwa mengutip ‘infaq wajib Ramadan’ sebanyak RM7 supaya segera memberhentikan tindakan itu.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata pihaknya menerima aduan daripada sebahagian besar amil zakat fitrah di negeri ini yang meluahkan kebimbangan mereka terhadap tindakan itu.

Menurutnya, tindakan parti politik itu sekali gus boleh mengelirukan orang ramai dalam suasana pembayaran zakat fitrah pada bulan Ramadan ini.

“Sekiranya terbukti bahawa terdapat cubaan daripada pihak berkenaan untuk memungut zakat fitrah dalam kalangan masyarakat Islam di Pulau Pinang maka sebagai badan menjaga kepentingan amil-amil zakat fitrah lantikan MAINPP, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tnidakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, mana-mana individu yang memungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau selainnya yang diberi kuasa oleh MAINPP adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda jika disabitkan kesalahan.

“Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 90(1) Enakmen Pentadbiran,” katanya.