MAIPs dijangka beroperasi di kompleks sendiri pada 2021

MAIPs dijangka beroperasi di kompleks sendiri pada 2021

Kompleks Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Jalan Pegawai di sini yang dijangka siap dan beroperasi menjelang penghujung 2021 diyakini dapat meningkatkan komitmen MAIPs dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada umat Islam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah prasarana kompleks yang lengkap akan lebih memudahkan umat Islam berurusan dengan majlis itu kelak.

“Prasarana ini juga untuk dimanfaatkan oleh umat Islam khususnya golongan asnaf,” titah baginda selepas berkenan berangkat merasmikan majlis pecah tanah projek itu, hari ini.

Pembinaan Kompleks MAIPs di atas tapak seluas 0.4 hektar itu bermula 16 Jan lepas dan dijangka siap pada Julai 2021.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah MAIPs komited melaksanakan fungsinya seperti yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis selaras dengan visinya sebagai peneraju pentadbiran hal ehwal Islam terunggul yang menyumbang kepada pembangunan ummah cemerlang menjelang 2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor yang ditemui pemberita kemudian enggan mendedahkan kos pembinaan kompleks tersebut.

— BERNAMA