MAIWP bantu 11,000 asnaf di Lembah Pantai

MAIWP bantu 11,000 asnaf di Lembah Pantai

Kira-kira 11,000 asnaf di sekitar Lembah Pantai menerima bantuan zakat dengan peruntukan bernilai RM20 juta sejak tahun lepas hingga kini, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee

Beliau berkata hasil usaha Skuad Jejak Asnaf MAIWP, golongan asnaf dapat dikesan dan diberi bantuan sewajarnya.

“Kami tidak tunggu asnaf datang kepada MAIWP sebaliknya turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi golongan asnaf. Kami sentiasa bersedia untuk memberi sebarang bantuan. Ini usaha kami untuk mendekati asnaf dan membelanjakan wang daripada pembayar zakat mengikut peraturan ditetapkan menerusi 28 skim bantuan terhadap golongan asnaf,” katanya.

Syed Hussien berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada empat keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, hari ini.

Melalui program hari ini, empat keluarga asnaf itu menerima bantuan seperti susu, lampin pakai buang serta barangan keperluan asas.

Seorang penerima bantuan itu, Farah Wahidah Abd Wahab, 33, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima apatah lagi anak bongsunya Muhammad Faiq Mikhail Mohd Hafiz, 2, menghidap penyakit hidrosefalus dan perlu kerap mendapatkan rawatan di hospital.

“Alhamdulillah dapat bantuan ini, kami banyak berbelanja untuk rawatan anak di hospital jadi kadang-kadang lampin pakai buang dan susu tak mampu beli jadi (bantuan) ini sedikit sebanyak dapat membantu kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Zaiton Zubir, 36, turut berterima kasih atas bantuan MAIWP yang prihatin terhadap keadaan keluarga dan anaknya Noor Amila Raina Pak Adek @ Mohd Sabri, 5, yang menghidap penyakit jantung kronik.

Selain Skuad Jejak Asnaf, MAIWP mewujudkan pelbagai mekanisme seperti Jejak Gelandangan, kaunter bergerak dan Skuad Musibah yang akan turun padang dalam tempoh 48 jam bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir.