MAIWP dituntut beri penjelasan spesifikasi pusat tahfiz

MAIWP dituntut beri penjelasan spesifikasi pusat tahfiz

AMANAH dan DAP hari ini menuntut penjelasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa pemilik bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah berhubung tahap keselamatan bangunan itu.

Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus berkata sebagai agensi di bawah kerajaan, isu melibatkan keselamatan bangunan tidak seharusnya berlaku.

Ia berikutan kebakaran pusat tahfiz itu pada 14 September lalu.

“Seawal hari pertama lagi, kami berada di lokasi, buat kenyataan semua kegiatan agama mesti berada di bawah majlis agama Islam, aktiviti membuat sekolah maahad ini, di bawah pemantauan mereka, kalau berdaftar kena ikut peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba.

“Kalau tak berdaftar pula kena pastikan ia dipantau pihak berkuasa,” katanya kepada media selepas memberikan sumbangan kepada keluarga waris di Ampang, pagi tadi.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah sebelum ini berkata bangunan sementara tiga tingkat di Keramat Hujung itu dimiliki MAIWP dan menafikan sebarang pengubahsuaian dibuat termasuk pengadang tambahan diletakkan di premis berkenaan.

Roslan Awang Ali mendakwa bangunan itu di bawah kuasa MAIWP selepas diserahkan oleh pemilik asal sebagai wakaf, lapor New Straits Times.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar turut mendedahkan sekolah itu beroperasi tanpa permit dan pelan struktur bangunan yang dihantar kepada pihak berkuasa berlainan dengan struktur asal sekolah itu.

Sementara itu, peguam yang juga ahli DAP, Zulhazmi Shariff membidas sikap MAIWP yang berdiam diri.

“Sehingga hari ini kita tak dapat penjelasan MAIWP. Kita faham dengan pengetua tapi MAIWP sebagai pemilik bangunan kena beri penjelasan. DBKL yang luluskan pembinaan, dan pelan bagaimana boleh diluluskan tanpa pemantauan.

“Bangunan itu milik majlis agama, maka sepatutnya sebagai agensi kerajaan, ia patut tahu keselamatan dan struktur bangunan,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata isu keselamatan melibatkan sekolah akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen, Oktober ini.

Beliau juga akan membangkitkan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

“Kalau budak-budak mampu membeli dadah, dari mana duit itu datang,” katanya merujuk ujian air kencing 6 daripada 7 suspek remaja dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang positif dadah jenis ganja.

“Ada kemungkinan budak-budak ini digunakan sindiket dadah,” katanya.

Reman 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun itu, yang disyaki bertanggungjawab ke atas kebakaran itu dilanjutkan sehingga 29 September ini.

Terdahulu, mereka menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris mangsa tiga beradik pelajar tahfiz yang terkorban dalam kejadian kebakaran pada 14 September lalu.

Kira-kira 20 wakil AMANAH dan DAP hadir ke kediaman kakak kepada ibu mangsa Mashawani Mohamed Shahid di Lembah TTDI, Taman Kosas , Ampang pagi tadi.

Mashawani kehilangan tiga anakanya iaitu Muhammad Syafiq Haikal, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 12, dan Muhammad Harris Ikhwan 10 dalam insiden tersebut.

CATEGORIES
TAGS