MAIWP langgar akta pentadbirannya sendiri, dakwa peguam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin tidak teragak-agak untuk mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang melanggar akta.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, pelantikan CEO MAIWP bercanggah atau ultra vires dengan Akta Pentadbiran Undang Undang Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1993 (‘Akta 505’) dan akan mendatangkan implikasi undang undang yang mendalam.

“Ia mendedahkan sebarang transaksi MAIWP dengan pihak pihak ketiga yang dibuat oleh CEO MAIWP bagi pihak MAIWP boleh dicabar kesahihannya,” kata Hanipa.

MAIWP melantik CEO yang bukan Setiausaha MAIWP  sedangkan Seksyen 14 (2) memperuntukkan “setiausaha hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan pentadbir Majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dasar dan ketetapan Majlis.”

Setiausaha MAIWP, berdasarkan seksyen 14 (1) Akta 505, ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurut Hanipa, berdasarkan senarai anggota anggota MAIWP dalam website MAIWP sendiri jelas menunjukkan Setiausaha MAIWP bukan menjadi CEO MAIWP yang secara jelas bercanggah seksyen 14 (2) Akta 505.

Pada masa ini Setiausaha MAIWP adalah Paimuzi Yahya yang juga Pengarah JAWI manakala CEO MAIWP adalah Datuk Haji Zainal Abidin bin Jaafar yang memegang jawatan tersebut sehinga 2018.

Hanipa berkata, sewaktu membangkitkan perkara tersebut dalam perbahasan bajet 2016 peringkat jawatankuasa Kementerian Jabatan Perdana Menteri (JPM) selasa lalu, Menteri JPM, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahupun timbalannya, Asyraf Wajdi Dusuki tidak memberikan penjelasan.

“Saya menunggu penuh sabar untuk timbalan menteri hingga jam 11 malam menjawab soalan yang saya bangkitkan itu. Namun timbalan menteri, tanpa desakan daripada speaker, dengan tiba-tiba berhenti menggulung dan tidak menjawab soalan saya tersebut dan juga soalan soalan lain daripada Ahli Ahli Parlimen yang lain,” katanya.

Beliau menambah, walaupun berjanji akan menjawab secara bertulis, menteri langsung tidak menjawab isu pelantikan CEO MAIWP yang bercanggah atau ultra vires Akta 505 tersebut.

“Tindakan menteri dan timbalan beliau adalah bercanggah dengan konsep kebertanggungjawaban (akauntabiliti) dan ketelusan (transparency) di Parlimen.

“Memandangkan peranan MAIWP adalah antara lain menasihati Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong sepertimana diperuntukkan dalam seksyen 4 (1) Akta 505, maka saya tidak ada pilihan selain membuat aduan isu ini kepada Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat ini agar Tuanku dapat mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

TAGS