MAIWP nafi dakwaan tiada sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan

MAIWP nafi dakwaan tiada sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menafikan dakwaan bahawa tidak ada sebuah pun sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan.

Penafian tersebut dibuat berikutan laporan akhbar rasmi parti Pas, Harakah yang bertajuk “Tiada Satu Pun Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan” bertarikh 17 Mei lalu.

Unit Komunikasi Korporat MAIWP dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa MAIWP telah menubuhkan tiga buah sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan iaitu:

1. Sekolah Menengah Agama MAIWP Kuala Lumpur di Bandar Sri Permaisuri Cheras, yang ditubuhkan pada 2007;

2. Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bandar Tun Razak, Cheras, yang ditubuhkan pada 2011, dan;

3. Sekolah Menengah Agama MAIWP di Labuan yang ditubuhkan pada 2011.

Selain itu menurut kenyataan itu lagi, terdapat beberapa sekolah agama yang lain dibuka oleh kerajaan di Wilayah Persekutuan seperti Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya.

Isu mengenai ketiadaan sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pas, Nuridah Mohd Salleh di parlimen namun perkara tersebut dinafikan dan telah dijelaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan ia telah diperakui oleh Nuridah.

Kata kenyataan itu lagi, MAIWP berharap penjelasan berkenaan dapat disiarkan oleh Harakah supaya ia dapat memberikan gambaran sebenar mengenai pendidikan agama di Wilayah Persekutuan.