MAIWP salur RM2.33 juta bantuan persekolahan awal

Oleh ARIF ATAN

Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan milik sepenuhnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sebanyak RM2.33 juta bagi bantuan persekolahan awal di seluruh negara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa, Ismail Yahaya berkata secara keseluruhannya di Sarawak, seramai 14,000 pelajar-pelajar terpilih yang ibubapa kurang berkemampuan telah layak menerima bantuan tersebut.

Katanya, untuk program kali ini merupakan tahun ke-10 sumbangan dan bantuan berkenaan dilaksanakan khususnya kepada penerima di luar kawasan Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulilah. Kita telah pun melaksanakan sumbangan bantuan awal persekolahan ini masuk tahun ke-10.

“Justeru untuk tahun ini seramai 14,000 pelajar yang kurang berkemampuan di Sarawak telah mendapat bantuan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Program Ketiga-tiga Sekolah 2020’ Peringkat Parlimen Santubong di Sekolah Kebangsaan (SK) Pajar Sejingkat di Kuching hari ini.

Turut hadir ialah Penyelaras Parlimen Santubong, Mohamad Fidzuan Zaidi, Timbalan dan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen.

Seramai 376 pelajar dari SK Pajar Sejingkat, SK Senari, SK Beradek dan SK Tanjung Bako telah dipilih menerima bantuan berupa pakaian sekolah, beg, kasut dan peralatan tulis.

Mengenai Yayasan Taqwa, Ismail berkata, Program Jom Ke Sekolah merupakan antara aktiviti tahunan yang bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada pelajar-pelajar dalam melahirkan generasi cemerlang.

Jelasnya, tiga teras utama Yayasan Taqwa ialah pendidikan, dakwah dan kebajikan dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.

“Semoga dengan adanya sumbangan awal persekolahan seperti ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibubapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka bagi tahun hadapan,” kata Ismail lagi.

Ismail, Fidzuan dan Hud Andri selepas bersama pelajar, ibu bapa dan guru-guru.