MAIWP sasar 5-8 peratus asnaf keluar daripada kemiskinan tahun ini

MAIWP sasar 5-8 peratus asnaf keluar daripada kemiskinan tahun ini

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meletakkan sasaran lima hingga lapan peratus daripada golongan asnaf penerima zakat dapat dikeluarkan daripada garis kemiskinan pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata sasaran tahun 2020 lebih tinggi selepas melihat kejayaan tahun lepas yang menyaksikan 2.8 peratus daripada 22,000 asnaf di Wilayah Persekutuan tidak lagi berada dalam garisan kemiskinan.

Katanya, jumlah asnaf yang berjaya dibantu untuk keluar daripada garis kemiskinan mula dijadikan ´ukuran´ kejayaan bantuan pemberian zakat pada tahun 2019, berbanding amalan sebelumnya yang menyaksikan bantuan zakat diberikan begitu sahaja tanpa diberi ukuran.

“Jadi, apabila kita mula meletakkan ukuran itu, sudah pasti kita tidak boleh terus meletakkan sasaran yang tinggi menyebabkan kita menyasarkan antara dua ke empat peratus pada tahun lalu dengan 616 asnaf berjaya dikeluarkan.

“Untuk memastikan sasaran tahun ini boleh dicapai, kita merangka lebih banyak program khas khusus untuk golongan asnaf seperti Asnaf-Preneur yang membimbing mereka untuk bergelar usahawan,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2020 kepada hampir 800 kakitangan daripada 51 jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di Pahang di Auditorium Darul Makmur di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan satu pelan pembangunan sosioekonomi rahmah sedang dibangunkan di Wilayah Persekutuan sebagai intervensi kepada golongan asnaf dalam pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.

“Jika golongan asnaf ini tidak mendapat perkhidmatan kesihatan, apakah intervensi yang harus kita lakukan untuk pastikan perkara ini kerana jika kita lihat di akhbar sering diiklankan rayuan bantuan pembedahan dan sebagainya.

“Kita tahu orang Malaysia memang penyayang tetapi kalau boleh, mereka (asnaf) seharusnya tak perlu memohon atau merayu sebegitu. Seharusnya ada tabung khas untuk membantu asnaf,” katanya.

Fuziah berkata intervensi itu juga perlu untuk memastikan tiada pelajar terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan, selari dengan dasar ‘satu rumah asnaf satu skrol’ bagi memastikan sekurang-kurangnya seorang anak daripada keluarga asnaf berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi membantu mengubah ekonomi keluarga.