Malaysia Dateline

Majikan digalak sedia peluang pekerjaan kepada bekas penagih, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan lebih ramai majikan dan syarikat untuk tampil menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas-bekas penagih dadah.

Beliau berkata sejak awal tahun ini hingga Sept, 1,109 majikan dan syarikat terlibat dalam memberi pekerjaan kepada bekas klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, terdapat seramai 39,791 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang kini bekerja.

“Berdasarkan kajian dalam bidang pemulihan dadah, faktor pekerjaan merupakan salah satu komponen penentu kejayaan pemulihan.

Pekerjaan menawarkan peluang kepada bekas-bekas penagih untuk memajukan diri ke arah merealisasikan matlamat, peningkatan hubungan kekeluargaan dan sosial serta membina semua kestabilan sosial,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kepulihan Klien AADK Tahun 2019 di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Muhyiddin berkata kerajaan telah mengambil pendekatan untuk memberikan insentif dalam bentuk potongan cukai pendapatan bagi majikan yang menggaji bekas-bekas penagih dadah dalam Belanjawan 2019.

“Perkara ini diharapkan dapat memberikan galakan kepada majikan atau syarikat untuk mengambil klien AADK untuk bekerja.

Ini boleh dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain dapat mengurangkan pergantungan pekerja asing dan mengurangkan masalah pengangguran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata seramai 13,709 klien AADK berjaya mengekalkan kepulihan sejak 1999 hingga tahun ini.

“Statistik menunjukkan bahawa klien kekal pulih dalam jangka masa empat tahun adalah yang paling tinggi iaitu seramai 3,398 orang.

Berdasarkan statistik ini, kita dapat bayangkan betapa sukarnya seseorang klien untuk mengekalkan kepulihan,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak khususnya institusi kekeluargaan dan masyarakat agar bersama-sama AADK, Kementerian Dalam Negeri dan agensi kerajaan memastikan komuniti bebas masalah penagihan dadah. — BERNAMA