Majikan Jobstreet: Giat mencari bakat berkemahiran digital

Majikan Jobstreet: Giat mencari bakat berkemahiran digital

Majikan kini giat mencari bakat dengan kemahiran digital, selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0, menurut platform penyumberan bakat Jobstreet.com.

Pengurus Negara Gan Bock Herm berkata menurut Kajian Prospek Kerja 2019 dijalankannya, 43 peratus majikan yang terbabit dalam kaji selidik itu didapati sudah memulakan langkah ke arah transformasi digital dan berusaha meningkatkan jumlah kumpulan bakat mereka khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT), pengkomputeran, pemasaran digital, dan penyelidikan dan pembangunan.

“Mencari kemahiran yang betul kini menjadi keutamaan. Transformasi digital tidak dapat dielakkan ketika kita menjadi semakin globalisasi, dan syarikat perlu memulakan perjalanan transformasi digital mereka.

“Ketika ini, terdapat jumlah bakat yang terhad di luar sana, jadi majikan perlu lebih proaktif untuk menyumber calon daripada kumpulan bakat yang pasif,” katanya pada taklimat media selepas mengumumkan dapatan kaji selidik itu.

Kaji selidik itu juga melaporkan lima kerja utama berkaitan kemahiran digital yang paling dikehendaki majikan adalah pemasaran digital, pembangunan perisian dan aplikasi, e-perdagangan, data besar dan analitik serta kemahiran pangkalan data.

Lima ciri utama dinilai majikan adalah kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, keupayaan bekerja secara berdikari, bersedia untuk belajar dan kemampuan bekerja di bawah tekanan.

Beliau berkata kaji selidik itu juga menonjolkan bahawa kira-kira 60 peratus majikan melaporkan mereka telah melaksanakan beberapa inisiatif atau projek transformasi digital, dengan baki majikan dalam kaji selidik itu kini di pelbagai peringkat perancangan dan sudah memulakan projek mereka.

Katanya organisasi perlu meningkatkan keupayaan inovasi dan teknologi mereka untuk faedah pertumbuhan dan mereka memerlukan bakat berkemahiran untuk menyokong perkembangan peniagaan mereka.

“Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa 29 peratus majikan dalam kaji selidik itu sedang mencari bakat baharu daripada luar untuk diambil bekerja bagi kemahiran yang diperlukan perniagaan, sebahagian besar daripada majoriti majikan dalam kaji selidik itu menyatakan kesediaan mereka untuk melabur bagi latihan semula dan meningkat kemahiran pekerja sedia ada mereka,” katanya.

— BERNAMA