Malaysia Dateline

Majikan lain patut ikut AEON naikkan gaji minimum

Syarikat lain digalakkan untuk mencontohi AEON Co (M) Bhd dan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON Malaysia) yang menaikkan gaji minimum untuk pekerja mereka.

Langkah baik itu wajar disambut oleh majikan di negara ini. Gesaan orang ramai terutama menerusi Twitter menyaksikan perkataan ‘AEON’ muncul sohor di platform itu dengan lebih 42,000 ciapan sehingga jam 12.30 tengah hari tadi.

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran turut menyuarakan pandangan sama.

“Ini adalah langkah yang baik oleh majikan. Malah, kita harus menggalakkan majikan lain untuk mengikutinya,” ciapnya di Twitter.

Berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, AEON Co (M) Bhd dan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON Malaysia) menaikkan gaji minimum untuk pekerja Gred G daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.

Jumlah tersebut adalah gaji pokok yang belum termasuk elaun atau insentif lain, lapor BH.

Majikan lain patut ikut AEON naikkan gaji minimum
Ramai berharap lebih banyak syarikat mencontohi langkah AEON menaikkan gaji minimum pekerjanya.

AEON Malaysia dalam kenyataannya berkata, ia sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja dan menyambut baik saranan Kementerian Sumber Manusia.

“Sehubungan dengan itu, tarikh berkuat kuasa gaji minimum oleh AEON Malaysia adalah lebih awal dari tarikh yang disyorkan oleh kerajaan iaitu sehingga hujung tahun 2022,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat AEON Malaysia, Dr Kasuma Satria Mat Jadi, AEON Malaysia disokong oleh kira-kira 13,000 pekerja di seluruh negara daripada pelbagai gred.

Jelasnya, mereka yang dikenali sebagai ‘AEON Warriors’ merupakan aset syarikat yang paling bernilai.

Sehubungan itu, katanya, kebajikan dan kelangsungan kehidupan pekerja mereka adalah keutamaan syarikat.

“Melalui AEON Warriors, kami akan terus melaksanakan inovasi runcit baharu untuk kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa dan yang paling penting, untuk kemudahan pelanggan.

“Kami berdiri teguh dan kekal bersatu untuk memainkan peranan dalam menjana ekonomi negara,” kata Dr Kasuma.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Halim Husin baru-baru ini dilapor berkata, gaji minimum di negara ini mengikut tanda aras antarabangsa sepatutnya sudah mencecah RM1,465 iaitu pada tangga 60 peratus daripada gaji penengah RM2,442.

Menurut formula gaji minimum KSM yang mengandungi garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna (CPI), beliau berkata, MTEM mendapati gaji minimum sebenar jika menggunakan jumlah purata kebangsaan ialah RM1,832.

Walau bagaimanapun, ujarnya, gaji minimum negara adalah lebih rendah berbanding ‘Greater Jakarta’ iaitu AS$326 sebulan (RM1,368) berdasarkan 40 jam bekerja seminggu berbanding Malaysia iaitu AS$286 (RM1,196) berdasarkan 48 jam bekerja seminggu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,350 daripada RM1,200 bermula bulan depan.

Terdahulu, pekerja di negara ini dilapor dijangka menikmati penepatan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum akhir tahun ini.