Malaysia Dateline

Majikan pukul dua pekerja Muslim: Penceroboh Perlembagaan perlu ditentang, diadili

Rakyat Malaysia harus hidup dalam mempertahankan dua perkara dalam Perlembagaan iaitu Islam agama Persekutuan dan kebebasan beragama, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Sesiapa yang hilang hormat pada dua asas ini adalah penceroboh yang perlu ditentang dan diadili, jika bersalah dikenakan hukuman setimpal.

“Artikel 3 Perlembagaan jelas menyebut Islam agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan.

“Apakah majikan ini tidak sedar dia hidup di bumi bernama Malaysia? Islam adalah teras tegak berdirinya negara ini, apakah majikan ini masih di alam lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun menampar dan memukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa selain mengacu pistol ke arah mereka.

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan masih terdapat majikan kuno yang hidup pada zaman batu menghalang hak warganegara mengamalkan tuntutan agamanya selain diburukkan dengan profil kaum yang sudah menjadi budaya di negara ini.

“Sesiapa sahaja yang menghalang hak kebebasan beragama perlu memahami juga Artikel 11 yang menjamin hak kebebasan beragama.

“Betapa banyak kes sebelum ini yang dibawa dari pengadu untuk mempertahankan hak ini di mahkamah, malah ada yang menang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menunjukkan ketegasan terhadap budaya kebencian antara agama jika benar motivasi tertuduh adalah atas kebencian agama.

“Dalam nafas yang sama kita orang Islam harus punya sikap tanpa prejudis jika penganut agama lain diperlakukan perkara yang serupa.

“Yakinlah kehidupan yang aman dan damai antara pelbagai agama dan kaum di dunia terbina atas prinsip keadilan yang sifatnya buta warna.

“Pada waktu yang sama hentikan prejudis sosial dan politik identiti kaum dan agama yang sempit dan destruktif,” tambah Mujahid lagi.