Malaysia Dateline

Majikan tampung kos pentadbiran, tempat untuk vaksin Covid-19 dipersoal

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan mengapa majikan perlu menampung kos pentadbiran dan tempat untuk vaksin Covid-19.

Menurut wakil rakyat DAP itu, kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion untuk perolehan vaksin Covid-19 dan RM1.5 bilion untuk menampung perbelanjaan pentadbiran dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau bertanyakan sama ada peruntukan RM5 bilion itu telah dibelanjakan oleh PICK ketika Fasa 4 program pelalian terbesar di negara itu akan bermula dengan fokus pemberian vaksin kepada pekerja di sektor ekonomi kritikal.

“Ketika Fasa 4 bermula, majikan diminta untuk membayar yuran pentadbiran vaksinasi.

“Sepatutnya belanjawan vaksin dan yuran pentadbiran vaksinasi berjumlah RM 3.5 bilion dan RM 1.5 bilion, dan percuma untuk semua orang,” katanya.

Sehubungan itu, Yeo yang juga bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu menggesa kerajaan menerbitkan laporan perbelanjaan sejak awal PICK bagi memastikan ketelusan sepenuhnya.

Tambahnya, walaupun ramai majikan mungkin tidak keberatan dengan perbelanjaan tambahan asalkan perniagaan dapat dibuka dengan lebih cepat semasa wabak Covid-19, tetapi terdapat juga peniaga yang menanggung kesan teruk pandemik dan tidak dapat menanggung kos.