Malaysia Dateline

Majlis angkat sumpah Exco baharu Melaka petang ini

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia bagi Ahli Exco negeri akan diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini kira-kira jam 2.30 petang ini.

Difahamkan sekurang-kurangnya 10 ADUN BN dijangka dilantik sebagai Exco negeri dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Antara yang disebut-sebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan; ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan serta ADUN Gadek, VP Shanmugam.

Sementara itu, ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman serta ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dijangka dilantik semula, selain ADUN Kelebang, Datuk Lim Ban Hong yang pernah dilantik menjadi Exco antara tahun 2013 sehingga 2018.

Surat makluman mengenai istiadat itu dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Melaka, ditandatangani Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Datuk Haelmy Mohd Hanifah.

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu turut diundang ke istiadat itu.

Turut diundang, enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu) serta dua Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Datuk Koh Nai Kwong.