Majlis angkat sumpah presiden baharu Congo Khamis

Majlis angkat sumpah presiden baharu Congo Khamis

Majlis angkat sumpah Ketua Pembangkang Felix Tshisekedi sebagai Presiden baharu Congo akan berlangsung pada Khamis (24 Januari) sekaligus menjawab teka-teki bila upacara itu bakal diadakan.

Upacara bakal berlangsung di Istana Negara kediaman rasmi presiden pada tengah hari, kata seorang pembantu kepada Tshisekedi.

Peristiwa itu memperlihatkan peralihan kuasa aman berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah negara, sejak mendapat kemerdekaan dari Belgium pada 1960.

Tshisekedi, 55, mengambil alih tampuk pemerintahan dari bekas Presiden Joseph Kabila, 47, yang telah memerintah selama 18 tahun, menggantikan ayahnya, Laurent-Desire, yang dibunuh pada 2001.

Beliau diisytiharkan menang selepas memperolehi 38.5 peratus undi manakala Martin Fayulu juga dari parti pembangkang menerima 34.8 peratus.

Fayulu menuduh terdapat penipuan dalam kiraan undi dan mengemukakan bantahan di Mahkamah Perlembagaan, bagaimanapun ia ditolak.

Congo pernah dilanda dua peperangan pada 1996-1997 dan 1998-2003 manakala dua pilihan raya presiden pada 2006 dan 2011, dicemari insiden kekacauan yang menyaksikan kehilangan nyawa.

Tshisekedi anak kepada ketua pembangkang veteran Etienne Tshisekedi, yang meninggal dunia pada Februari 2017 pada usia 84 tahun.

— BERNAMA-NNN-AGENCIES