Malaysia Dateline

Majlis atau Pelan Pemulihan Negara?

Tidak bersetuju bukan bererti membantah tetapi kerana kewajaran dan reliti sesuatu itu harus berlaku pada masa dan keadaan tertentu amat dipersoalkan. Samada Majlis Pemulihan Negara atau Pelan Pemulihan Negara, kedua-duanya serupa sahaja dengan mungkin roh dalam jasad yang berbeza.

Kita sebenarnya perlu bertindak tegas, tuntas dan memecut dengan lebih pantas bagi memberikan laluan kepada pembinaan semula negara pasca Covid-19, merancakkan ekonomi, pembukaan semula sektor ekonomi strategik, pendidikan disemua peringkat, memulihkan citra rakyatdan menjamin kesihatan awam yang menyeluruh.

Kongkongan tidak keruan “lockdown”, darurat kesihatan dan penghadkan pergerakan seolah-olah tidak mempunyai makna kerana polisi yang dibebankan kepada rakyat beranjak-anjak dan berubah mengikat darjat dan kasta.

Persoalan penting kini adalah adakah kepimpinan mampu menangani proses pemulihan ini. Selepas lebih setahun pandemik ini menyerang dan terbinanya ratusan kluster jangkitan dan lahir pula varian baharu yang mana kesemua ini hasil kelemahan dasar dan strategi menangani wabak ini.

Capaian vaksin yang tidak selaraskan mengikut lokaliti jangkitan dan negeri yang perlu diutamakan mengikut data-data sains juga menimbulkan kebimbangan.

Sehinggakan DYMM Sultan Selangor melahirkan kebimbangan Baginda apabila capaian vaksin di negeri yang memberikan sumbangan terbesar kepada sektor ekonomi negara tidak di berikan perhatian khusus.

Setelah hampir RM5 Billion dikatakan telah diperuntukkan melalui Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk program vaksinisasi namun ia tidak juga menampakkan kesannya kepada pembinaan imuniti kelompok yang lebih menyeluruh.

Ketibaan vaksin juga amat perlahan yang mungkin disebabkan ada usaha untuk mengawal capaian pembelian oleh gergasi perniagaan tertentu. Sedang ada beberapa negeri bersedia untuk membuat perolehan vaksin.

Apakah strategi negara pula untuk capaian vaksin mengikut sektor perekonomian, perkilangan dan pelancongan (selain perjudian!). Tidak ada juga blueprint mengenai sektor pertanian, keselamatan makanan, pelan kebolehcukupan bekalan, penternakan dan perikanan juga tidak kelihatan.

Belum lagi strategi mengenai industri utama (primer industries), perdagangan dalam negara dan antarabangsa juga kelihatan sangat lemah, walaupun ada menteri yang keluar negara kononnya untuk mencari pelaburan baharu tetapi bahkan kedengaran pelabur amat berhati-hati mendekati Malaysia untuk membuat pelaburan baharu terutamanya dengan keadaan ‘darurat kesihatan’ yang sukar mereka fahami realitinya.

Kalau pun Pelan Pemulihan Negara hendak dibentangkan, maka ia perlu dibentang diparlimen, dibahas dan diteliti dengan sehalus mungkin. Ia tidak harus menjadi keputusan sepihak dengan hanya disuapkan kepada rakyat hanya melalui siaraya dikaca TV.

Jika ia tidak dibahas diparlimen dengan penuh teliti maka ia tidak akan menjadi polisi dan dasar yang mantap, tepat dan boleh dicapai perlaksanaannya disemua peringkat.

Strategi exit policy yang dicanang-canang sehari dua ini tidak akan lebih pintu keluar yang sempit yang mana manusia akan berasak-asak dan akan tersungkur sebelum pun boleh keluar.

Kenapa? Kerana polisi ini tidak ditekuni dengan tuntas, sepihak dan tidak hanya dilontar kepada rakyat untuk menelan segala-galanya tanpa memberikan peluang kepada input dari pelbagai pemegang taruh terutamanya anggota-anggota parlimen yang mewakili rakyat.

Hadapilah realiti ini, jika kita tidak mampu maka berundurlah. Janganlah kerana tamak dan haloba yang menguasai kita masih ingin berpaut di menara kekuasaan.

Kebanyakan negara Eropah dan Amerika Utara mengamalkan pendekatan mitigasi diawal berlakunya pandemik.

Namun ia amat perlahan dalam menangani pergerakan pantas jangkitan, dimana kemudianya mereka telah beralih kepada strategi ‘penindasan’ (suppression strategy) dan perlbagai strategi lagi yang telah dilakukan.

Kesemua ini memerlukan sebuah pentadbiran yang bervisi dan jelas apa yang dikehendakinya dihadapan. Namun diantara yang dicadangkan oleh pakar kesihatan awam New Zealand Prof Micheal Baker adalah strategi penghapusan (elimination strategy).

Ianya merujuk kepada pengurangan berlaku kebolehjangkitan penyakit kepada sifar disatu-satu kawasan geografi yang dikenalpasti.

Oleh itu sebelum cuba membentangkan exit policy atau apa jua pelan pemulihan maka kerajaan perlu jelas apa matlamat akhirnya. Bukan sekadar menyatakan “KITA MAHU KELUAR DARI PANDEMIK”, tanpa pelan jangka pendek dan jangkapanjang yang jelas dan terstruktur.

Penulis ingin menekankan ia perlu di bendang, bahas dan berhadapan dengan parlimen dan bersedia untuk menggugurkan mana-mana dasar tidak boleh diluncurkan kepada rakyat.

Janganlah hanya mendendangkan pelan tersebut hanya dikaca TV dengan wajah yang dibuat-buat penoh sayu dan syugul.

Hakikatnya dalam tempoh enam (6) bulan kita perlu berjaya dengan sifat ralat (zero error)! Pokoknya minggu ini hingga minggu hadapan adalah penentu jatuh bangunnya negara ini.

Jika ada yang yang telah semput dan mengalami lelah yang akut (acute asthmatic) dan tidak berani meneruskan dengan berbahas dan berdebat dalam institusi terpenting negara iaitu parlimen dengan berselindung dibalik pelbagai helah dan topeng kekuasan, maka carilah pintu keluar (exit door) segera.

Biarlah yang ada kekuataan dan amanah meneruskan teraju negara seperti pilihan yang telah dibuat oleh rakyat!
————
Penulis adalah Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan.