Majlis Belia Malaysia zahirkan kebimbangan gejala ‘youth populism’

Majlis Belia Malaysia zahirkan kebimbangan gejala ‘youth populism’

Seiring dengan pelaksanaan Undi 18, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, menzahirkan kebimbangan kepada gejala ‘youth populism’ dalam kalangan anak muda di negara ini.

Jufitri berkata, apa yang dibimbangi pihaknya adalah mana-mana parti politik akan mengambil kesempatan untuk menarik undi belia dengan tawaran-tawaran yang bersifat material semata-mata.

Juifitri Joha

“Ini akan menyebabkan anak muda kita dipengaruhi oleh sifat materialisme, bukan mengundi sesuatu parti itu untuk kepentingan masa depan negara.

“Perkara itulah yang kami bimbangkan. Anak muda diberi habuan tanpa menyedarkan kepada mereka kefahaman mengenai kepentingan undi kepada negara.

“Golongan anak muda ini perlu diberikan penekanan bahawa apa yang mereka buat atau pun tidak buat pada masa sekarang, akan memberi kesan kepada mereka pada masa depan sama ada ianya menyusahkan atau menyenangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, Jufitri berharap anak muda di negara ini akan menggunakan kuasa mereka untuk menentukan masa depan negara dan dapat melihat lebih ramai calon-calon anak muda ditampilkan pada pilihan raya akan datang.

“Pelaksanaan Undi 18 ini adalah satu kejayaan besar kepada anak-anak muda di negara ini. Saya lihat ada segelintir anak muda yang sudah bersedia kerana kita tengok Undi 18 ini juga digerakkan oleh anak muda.

“Tetapi kita tak nafikan ada sekelompok besar anak muda yang belum lagi matang dan memerlukan ilmu, pengalaman serta bimbingan daripada orang dewasa,” ujarnya lagi.

Baca: NUTP yakin usia 18 cukup matang