Majlis berbuka puasa ala pesta: Anwar mohon maaf

Majlis berbuka puasa ala pesta: Anwar mohon maaf

Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung majlis berbuka puasa anjuran sayap pemuda parti itu yang bersifat pesta.

Beliau berkata, pihaknya menerima bantahan selepas program iftar tersebut malam tadi yang mengandungi acara pesta, lagu dan bunga api.

“Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR hari ini yang turut disiarkan di Facebook.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak memperincikan program yang dimaksudkan.

Sehubungan itu, beliau memberi teguran keras kepada Pemuda partinya supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak melakukan kegiatan yang menyimpang dari tradisi budaya Islam.

“Ketua Pemuda PKR menjelaskan program ini diselenggarakan oleh timbalan beliau dan saya minta Pemuda PKR supaya memperbaiki kelemahan ini,” ujarnya lagi.