Majlis Fatwa digesa bincang skandal 1MDB

Penasihat umum Parti Amanah Negara Ustaz Ahmad Awang menyarankan majlis fatwa kebangsaan segera bersidang khusus bagi membincangkan skandal 1MDB.

Majlis Fatwa digesa bincang skandal 1MDB

Penasihat umum Parti Amanah Negara Ustaz Ahmad Awang menyarankan majlis fatwa kebangsaan segera bersidang khusus bagi membincangkan skandal 1MDB.

Ini kerana katanya, Majlis Raja-raja pada Oktober tahun lalu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Lebih-lebih lagi kata Ahmad, ketika ini timbul pula tindakan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita dan merampas aset berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

“Mufti-mufti barangkali isu 1MDB ini mereka tak ambil tahu langsung. Tapi sebenarnya mufti kena memainkan peranan kerana Majlis Raja-raja sudah ada keputusan dalam keputusan mesyuarat Majlis Raja-raja yang lepas yang mahu isu 1MDB segera dikaji dan diselesaikan.

“Walaupun itu sahaja keputusannya tapi perlu diberi perhatiankerana ia berkait dengan Islam, Raja-raja dan berkait soal hukum maka mufti-mufti patut membuat kaji selidik,” katanya kepada Malaysia Dateline.

DOJ, dalam saman untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB menyebut “Malaysian Official 1” didakwa menerima AS$781 juta wang yang disalah guna.

Malaysian Official 1 dirujuk sebagai “pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan autoriti dengan 1MDB”.

Ahmad berkata, mufti-mufti yang lantang bersuara mengkritik pembangkang sebelum ini sewajarnya lebih lantang dalam membawa isu 1MDB yang melibatkan salah guna wang rakyat.

Penasihat umum Parti Amanah Negara Ustaz Ahmad Awang“Mufti yang lantang bersuara seperti mufti Perak, mufti Pahang yang kecoh dengan isu kafir harbi baru-baru ini sepatutnya mereka kena bersuara dalam isu 1MDB yang sudah melibatkan negara luar.

“Jangan hanya mengeluarkan kenyataan nak memesongkan isu sebenar yang rakyat mula nampak penyelewengan pemimpin negara,” tegasnya yang merupakan bekas anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan di Malaysia.

Beliau juga berkata, saman sivil DOJ itu juga amat memalukan Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam dan raja-raja menjadi ketua agama.

“Isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa ini sepatutnya ditentang oleh negara Islam tetapi sekarang negara barat pula yang kehadapan.

“Institusi Islam di negara kita masih membincangkan isu-isu sampingan tetapi menutup skandal besar melibatkan pemimpin negara bukan sahaja dalam negara tetapi dilaporkan oleh negara-negara luar,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru pembangkang agar terus bersatu bagi menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) agar skandal melibatkan wang rakyat tidak lagi berlaku.

“Dalam kita berhadapan isu ini dan pada masa yang sama kita berhadapan dengan kuasa dan pilihan raya maka kita dalam pimpinan pembangkang khususnya Pakatan Harapan mesti bersatu.

“Jangan cuba masing-masing cuba nak bawa perkara yang boleh memecah belahkan kita dengan berdebat atas isu sampingan yang dibesar-besarkan media yang memberi modal kepada Umno BN,” ujarnya.