Malaysia Dateline

Majlis Islam Sarawak arah aktiviti Tabligh dibekukan serta merta

Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau di seluruh Sarawak diarahkan untuk membekukan semua aktiviti yang melibatkan Jemaah Tabligh sehingga arahan terbaru dikeluarkan.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS), Khalidi Ibrahim dalam satu kenyataan berikutan perkembangan terkini jangkitan wabak di negeri ini.

“MIS menyarankan agar tindakan-tindakan pencegahan wabak Covid-19 dilaksanakan serta merta dan mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau untuk membekukan semua aktiviti melibatkan Jemaah Tabligh sehingga arahan terbaru dikeluarkan,” katanya di Kuching hari ini.

Beliau menegaskan, MIS turut menggesa semua individu dari Sarawak yang telah menghadiri Ijtimak Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu untuk segera ke hospital dan Pejabat Kesihatan Bahagian berhampiran bagi melakukan saringan Covid-19 demi kesejahteraan bersama dan mencegah penularan wabak ini.

Dalam pada itu, Sarawak telah mencatatkan enam lagi kes positif Covid-19 semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak itu sebanyak sembilan kes di negeri ini.

PengerusiJawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada jumlah kes positif baharu itu, dua kes direkodkan di Limbang dan empat kes di Kuching.

Katanya, semua mereka yang positif itu dari kluster yang sama iaitu peserta yang menghadiri Perhimpunan Agama Ijtimak dan kini sedang dirawat di hospital.

“Setakat ini, Sarawak mencatatkan enam lagi kes positif Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan kes,” jelasnya.

Katanya, Sarawak telah mengambil langkah segera untuk mengumumkan kes terbaharu agar orang awam dapat mengetahui perkembangan terkini dengan segera.

Beliau juga menggesa kepada sesiapa yang telah menghadiri Ijtimak di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dan belum melaporkan diri untuk berbuat demikian di hospital atau Pejabat Kesihatan Bahagian berdekatan bagi saringan Covid-19 dengan kadar segera.

“Kita telah mengesan 311 orang dan percaya lebih ramai bilangan peserta dari Sarawak yang hadir ke perhimpunan tersebut.

“Pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengkaji Borang Deklarasi Kesihatan Sarawak yang telah dikumpul dari empat Lapangan Terbang bermula 2 hingga 5 Mac untuk mengesan mereka yang terbang ke Sarawak,” tambahnya.