Malaysia Dateline

Majlis Islam Sarawak larang ziarahi kubur sepanjang PKP

Majlis Islam Sarawak (MIS) mengeluarkan arahan tidak membenarkan orang ramai menziarahi tanah perkuburan Islam sepajang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim, larangan tersebut adalah berikutan wabak Covid-19 masih lagi menular dan sebagai mematuhi pelaksanaan PKP ketika ini.

“Majlis Islam Sarawak mengambil maklum bahawa umat Islam lazimnya akan menziarahi pusara ahli keluarga masing-masing sempena kehadiran Ramadhan dan semasa menjelangnya Aidilfitri,”katanya dalam satu kenyataan di Kuching, semalam.

Beliau bagaimanapun menggalakkan agar umat Islam untuk berdoa kepada arwah yang berkenaan di rumah masing- masing.

Sementara itu, semalam Sarawak telah merekodkan seorang lagi kematian Covid-19 di negeri ini, menjadikan 16 orang setakat ini.

Mangsa berusia 72 tahun yang tiada sejarah terdedah dengan pesakit Covid-19 sebelum ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, warga emas yang berasal dari Lingga, Sri Aman itu mempunyai penyakit darah tinggi dan ketumbuhan dalam perut dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dari Hospital Sri Aman pada 20 April.

“Kematian ini menjadikan jumlah korban Covid-19 di Sarawak ialah 16 orang.

“Kes (pesakit) mengalami kesakitan pada bahagian epigastrik, melaenic stool dan kesukaran bernafas seminggu sebelum ini. Ujian Covid-19 telah dibuat sebagai pre-operation screening, dan keputusan didapati positif untuk Covid-19 pada 22 April,” jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, tahap kesihatan pesakit itu semakin merosot semasa mendapat rawatan di HUS sekali gus disahkan meninggal dunia pada 9:15 pagi, semalam.

“Bagaimanauun, punca jangkitan masih dalam siasatan,” tambah kenyataan itu.