Majlis Keselamatan bincang laporan penggunaan senjata kimia di Syria

Majlis Keselamatan bincang laporan penggunaan senjata kimia di Syria

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tertutup pada Rabu untuk membincangkan laporan terkini Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengenai penggunaan senjata kimia di Syria, lapor agensi berita Xinhua.

Laporan oleh pemantau yang ditaja PBB itu berdasarkan penilaian Misi Pencarian Fakta (FFM) mendapati terdapat “alasan munasabah mengenai penggunaan bahan kimia toksik sebagai senjata pada 7 April,” semasa pertempuran untuk menguasai Timur Ghouta.

Terdapat kesan klorin reaktif dalam sampel yang diambil kira-kira dua minggu selepas kejadian.

Serangan di bandar Douma, pinggir bandar Damsyik, berlaku ketika pengepungan oleh tentera Syria yang disokong Rusia, terhadap kubu terakhir pemberontak di Timur Ghouta.

Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya menuduh kerajaan Syria menggunakan gas klorin dalam operasi ketenteraannya di Douma.

Bagaimanapun Syria berulang kali menafikan tuduhan itu, mengatakan ia sengaja direka oleh  pemberontak untuk menarik campur tangan tentera asing.

— BERNAMA