Malaysia Dateline

Majlis Keselamatan PBB adakan undian deraf resolusi krisis Venezuela

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis dijangka mengundi dua deraf resolusi yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia berhubung krisis di Venezuela.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak mungkin gagal dalam undian itu, demikian menurut diplomat.

Di saat Venezuela bergelut masalah ekonomi, negara itu turut dibebani krisis politik apabila pemimpin pembangkang, Juan Guaido mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara dan mengatakan jawatan  Presiden Nicolas Maduro tidak sah.

Pada Rabu AS mengemukakan cadangan pilihan raya presiden diadakan sekali lagi di Venezuela bagi menamatkan kebuntuan politik, manakala Rusia mengesyorkan krisis diselesaikan secara damai. Kedua-dua negara mengemukakan cadangan itu di PBB untuk diundi.

Kedua-dua pihak perlu memperolehi sekurang-kurangnya sembilan undi, tanpa veto dari lima anggota tetap – Britain, China, Perancis, Rusia dan AS.

Dalam deraf cadangan AS, negara itu menyarankan “pilihan raya presiden yang bebas, adil dan boleh dipercayai,” dengan kehadiran pemerhati antarabangsa.

AS mendakwa pilihan raya pada Mei lalu yang mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang adalah “tidak bebas atau adil.”

Deraf resolusi Rusia pula menggesa penyelesaian “menerusi cara damai” dan menyambut baik cadagan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres agar diadakan dialog.

AS mengetuai usaha mengiktiraf Guaido dan disokong kira-kira 50 negara lain.

— BERNAMA-NNN-AGENCIES