Malaysia Dateline

Majlis Media kerajaan main peranan dengar cadangan, bantu pemain industri

Kerajaan akan memainkan peranan mendengar, menerima cadangan dan membantu para pemain industri media apabila Majlis Media Malaysia (MMC) ditubuhkan kelak, yang dijangka pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata beliau “gembira” bahawa proses penubuhan majlis berkenaan telah hampir selesai dan beliau akan berjumpa Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin mengenai perkara itu.

Gobind Sigh

“Saya telah meminta industri media untuk mengadakan perbincangan dan mengemukakan cadangan-cadangan. Ini menunjukkan kami (kerajaan) mahu para pemain industri media menubuhkan majlis berkenaan dan datang berjumpa kami serta berbincang mengenai apa-apa yang diperlukan. Begitulah peranan yang akan dimainkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan ‘Parcel Drone’ di Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Khamis.

Ditanya sama ada kerajaan boleh menjamin tiada wakil kerajaan duduk dalam majlis media itu, Gobind berkata beliau akan berbincang dengan Kadir mengenai cadangan-cadangan yang telah dikumpulkan dan mengenai model majlis berkenaan dan apa yang akan terkandung di dalamnya.

Gobind berkata beliau akan mengadakan sidang media untuk memberi penjelasan lanjut mengenai majlis media itu setelah beliau menerima laporan daripada wartawan veteran itu (Kadir).

Minggu lepas, Kadir dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan gembira melihat kemajuan positif cadangan penubuhan majlis media itu, yang disifatkan sebagai penting tetapi kerajaan tidak akan terlibat dalam proses itu.

Majlis Media Malaysia adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard yang tinggi bagi komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan dan bertindak sebagai sebuah badan timbang tara antara rakyat dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Mengenai status syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei Technologies Co Ltd, berhubung pembinaan infrastruktur rangkaian 5G di Malaysia, Gobind mengulangi bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang menjalankan kajian untuk meneliti aspek-aspek keselamatan.

“Kami sedar mengenai aduan-aduan yang telah dibuat dan kerisauan yang dibangkitkan. Kita akan meneliti perkara itu. Apabila mereka telah siapkan laporan, kementeritan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu,” katanya.