Majlis memperingati ulang tahun ke-10 tragedi berdarah Mumbai diadakan di New York

Majlis memperingati ulang tahun ke-10 tragedi berdarah Mumbai diadakan di New York

Majlis memperingati ulang tahun ke-10 tragedi berdarah pembunuhan beramai-ramai di Mumbai pada 26 November 2008, diadakan di Konsulat Jeneral India di New York pada Isnin.

Dalam kejadian itu lelaki bersenjata melepaskan tembakan menggunakan mesin-gan yang meragut ratusan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Tragedi 26/11 Mumbai itu juga sering dibandingkan dengan insiden serangan pengganas pada 9/11 di New York.

Upacara memperingati itu diketuai Konsul Jeneral India di New York, Sandeep Chakravorty yang bukan sahaja dihadiri warga India malah turut disertai rakyat Amerika dan negara lain sebagai tanda penghormatan.

“Keganasan tidak boleh menggantikan apa jua ideologi. Ia tidak memberikan sebarang kebaikan sebaliknya membawa kehancuran. Sebaik bermula ia sukar dikawal dan hanya boleh dihentikan dengan langkah pencegahan yang benar-benar padu,” kata Chakravorty sambil menambah Mumbai kini bangkit semula dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Majlis memperingati tragedi sama turut diadakan di 14 negeri.

Pada majlis di Kedutaan India di Washington, penyelaras Jabatan Negara bagi memerangi keganasan, Nathan Sales dalam ucapan ringkasnya mahu Pakistan bertindak membawa organisasi pengganas Lashkar-e-Tayyiba (LeT) yang dilaporkan dalang di sebalik pembunuhan itu ke muka pengadilan.

Amerika Syarikat menawarkan ganjaran US$10 juta untuk maklumat sehingga tertangkapnya Ketua LeT, Hafiz Saeed dan US$ 2 juta pemimpin kanan Hafiz Abdul Rahman Makki.

Loading...

Serangan di bandar hampir 20 juta penduduk itu menyasarkan dua buah hotel mewah iaitu Taj Palace dan Oberoi, stesen kereta api utama Chhatrapati Shivaji Terminus, sebuah restoran yang popular di kalangan pelancong dan pusat Yahudi.

— BERNAMA