Malaysia Dateline

Majlis Peguam persoal Speaker hantar surat kepada Hakim minta tangguh bicara

Majlis Peguam Malaysia berkata, tindakan Speaker Dewan Rakyat menghantar surat memohon hakim menangguhkan perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau menyertai perdebatan di Dewan Rakyat menimbulkan persepsi yang tidak perlu.

Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir dalam satu kenyataannya berkata, walaupun Datuk Azhar Harun berkata, beliau hanya membuat permohonan bukan mengarahkan, ia menimbulkan persepsi yang bukan-bukan terutama ketika perlantikan beliau juga penuh kontroversi.

SALIM BASHIR

“Speaker sepatutnya membiarkan perkara ini diuruskan oleh pihak yang terlibat secara langsung untuk menangguhkan perbiacaraan bukannya menulis surat kepada hakim secara langsung,” kata Salim.

Beliau juga bimbang tindakan ini memberikan satu ruang baru untuk mana-mana peguam menangguhkan kes mereka di mahkamah bagi membolehkan beliau hadir ke Dewan Rakyat.

“Adakah permohonan bertulis Speaker bermakna, ahli Majlis Peguam yang juga Ahli Parlimen sekarang boleh meminta bantuan Speaker untuk memohon menangguhkan perbicaraan kesnya bagi membolehkan dia menghadiri perdebatan di Parlimen,” tanya beliau lagi.

Azhar yang dilantik penuh dengan kontroversi telah menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang membicarakan kes Najib, Collin Lawrence Sequerah memohon kes itu ditangguhkan untuk membolehkan beliau hadir ke Dewan Rakyat bagi mengikuti perbahasan Titah Diraja.

Ia dilakukan Azhar beberapa hari sahaja selepas perlantikan beliau yang dibantah oleh pelbagai pihak khasnya pembangkang itu kerana tidak dibuat mengikut perintah tetap peraturan Dewan Rakyat.

Tindakan Speaker itu telah dibangkitkan oleh Chang Lih Kang (PH- Tanjung Malim) yang mahu penjelasan berkenaan perkara tersebut.

Ekoran itu, Azhar mempertahankan tindakan itu dengan berkata, ia hanya satu permohonan bukan arahan.

Sebelum itu, hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan lisan yang dibuat peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah untuk menamatkan prosiding pada Khamis sekitar pukul 1.30 tengah hari supaya bekas perdana menteri itu boleh menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, pada Khamis lalu, peguam Najib kemudian mengemukakan surat daripada Azhar.

Hal itu menyaksikan Sequerah memutuskan untuk melanjutkan prosiding semasa waktu rehat makan tengahari dan hanya menghentikannya pada pukul 3.15 petang.