Malaysia Dateline

Majlis Peguam tuntut penjelasan KKM pula selepas menteri Pas tidak didakwa

Majlis Peguam Malaysia mempersalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga menyebabkan Peguam Negara tidak mendakwa menteri dari Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali walaupun bagi Umno pegawai KKM hanya menjadi kambing hitam.

Presidennya, Salim Bashir dalam kenyataan mereka malam tadi berkata, kegagalan Peguam Negara mendakwa Menteri Komoditi dan Industri Perladangan itu adalah kerana kegagalan KKM memberikan Borang 14B yang diperlukan untuk perintah kuarantin.

“Majlis Peguam dengan ini ingin meminta KKM memberikan jawapan kenapa Borang 14B tidak diberikan kepada Khairuddin, dan kenapa beliau dibenarkan bergerak bebas selepas pulang dari Turki.

“Orang ramai berhak untuk mengetahui kenapa beliau dikecualikan dari arahan kuarantin,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut beliau, Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut, “semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapatkan perlindungan undang-undang”.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, pegawai KKM hanya menjadi kambing hitam dengan tindakan Peguam Negara membebaskan Khairuddin.

“Ada dua alasan kenapa keputusan itu dipersoalkan. Pertama kenapa terlalu lama untuk disiasat dan diputuskan. Pihak berkuasa macam bermain masa untuk mencari alasan.

“Kedua, Kerajaan dilihat tidak tegas. Pegawai KKM yang kononnya tidak memberi borang 14b kepada Khairuddin dijadikan “Kambing Hitam”,” kata beliau.

Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada tindakan akan diambil terhadap Khairuddin atas kesalahan melanggar kuarantin wajib Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kertas siasatan oleh polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan untuk kes ini adalah ‘no further action.. NFA.

“NFA atas alasan YB Menteri (Khairuddin) tidak diserahkan Borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

“Berdasarkan keterangan itu, maka Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap YB Menteri (Khairuddin) memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.