Malaysia Dateline

Majlis Pemulihan Negara setuju jemput wakil parti pembangkang

Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk menjemput wakil-wakil dari parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan and Pejuang, sebagai ahli MPN.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil dari Kerajaan-Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menganggotai Majlis.

Merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Zafrul berkata MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

“Keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar dari pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.

“MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan; peningkatan usaha vaksinasi; penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan Kerajaan dalam tempoh pemulihan.

“MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai 2021,” kata beliau