Malaysia Dateline

Majlis Pemulihan Negara tidak akan berjaya selagi tidak dianggotai pakar, profesional

Keputusan kerajaan menjemput tiga wakil pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara, tidak akan berjaya membendung penularan wabak Covid-19.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-Bebas) berkata, tindakan tersebut hanyalah bersifat politik kerana sepatutnya majlis pemulihan itu melibatkan golongan profesional dan pakar-pakar dalam bidang kesihatan, ekonomi dan sosial.

Beliau menegaskan, Majlis Pemulihan Negara tidak seharusnya membabitkan campur tangan ahli politik yang sudah pasti hanya akan mementingkan ‘mileage’ untuk politik mereka.

“Ahli-ahli poltiik walaupun mereka bijak belaka, tapi nampak kurang arif dalam usaha membanteras perkembangan wabak Covid-19.

“Orang politik lebih utamakan mileage mereka dari usaha mahu menyekat perkembangan wabak ini. Satu daripada contohnya ialah apabila keadaan pulih sedikit, maka orang politik cuba untuk menawan sebuah lagi negeri contohnya Sabah (yang kemudian menyumbang lagi kepada peningkatan kes).

“Keputusan berdasarkan politik tak mampu mengurangkan kes wabak ini. Sebab itu kita perlu ada badan dianggotai pakar dalam bidang membanteras wabak penyakit. Kita sedar bahawa banyak perkara boleh dilakukan tapi (kerajaan) tak dapat lakukan,” katanya dalam Mesyuarat Khas Parlimen hari kedua hari ini.

Pada semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin memaklumkan tiga wakil pembangkang dijemput untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara.

Beliau berkata, ia membabitkan seorang wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan dan Parti Pejuang untuk berkongsi pandangan dan nasihat dalam pelbagai aspek pelan pemulihan.