Majlis Penasihat Pertanian Negara sudah beri cadangan konstruktif, kata Salahuddin

Oleh MALAYSIADATELINE

Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN)  sudahpun memberikan taklimat lengkap dan cadangan konstruktif kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementerian juga berpuas hati dengan beberapa cadangan dikemukakan dalam taklimat diadakan pada Isnin itu yang dibentangkan oleh tiga anggota dilantik terdiri daripada Tan Sri Abdul Rahman Mamat sebagai Pengerusi, dan dua lagi anggotanya Tan Sri Francis Lau Ruan Nguang dan Datin Dr Fatimah Mohd Arshad.

“Saya sangat teruja dengan komitmen ditunjukkan anggota dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara yang berikan taklimat lengkap dengan cadang konstruktif ide baharu yang saya kira cukup besar inputnya.

“Antara yang telah majlis tekankan bagaimana harus ditingkatkan produktiviti dalam sektor ruminen untuk meningkatkan bekalan daging tempatan kepada 30 peratus,” ujarnya.

Beliau ditanya media, mengenai perkembangan majlis itu sejak ditubuhkan pada Jun lepas, bertujuan membantu kerajaan meningkatkan tahap jaminan bekalan makanan negara dan eksport pertanian.

Sebelum itu Salahuddin melancarkan MAHA 2018 di kementeriannya semalam.

Menurut Salahuddin lagi cadangan yang telah dikemukakan oleh majlis tersebut kepada kementerian akan dibawa kepada mesyuarat kabinet untuk mendapatkan kelulusan  jemaah menteri sebelum dilaksanakan oleh kementeriannya.

“Kita (kementerian) memberi kebebasan kepada majlis ini untuk melakukan penambah baikan perjalanan keseluruhan agensi dan jabatan di bawah kementerian.

“Agar tidak perlu lagi kementerian mengunakan sumber luar konsultan yang perli membayar harga yang mahal mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Di atas penerangan yang diberikan itu, saya yakin majlis ini memberikan pandangan yang terbaik untuk kementerian termasuk memberi kritikan dan teguran secara terbuka kepada kami sama ada kepada saya atau Datuk KSU dan pasukannya.

“Saya berterima kasih dengan peranan majlis ini dalam membantu kementerian,” ujarnya.

Lantik tiga lagi anggota MPPN

Salahuddin turut memaklumkan kementerian akan melantik tiga lagi anggota baharu dalam majlis itu bbagi memastikan majlis berupaya melahirkan lebih idea dan pandangan baharu terhadap sektor pertanian negara.

Pelantikan anggota baharu itu ujarnya akan diumumkan secara rasmi dalam waktu terdekat ini.

MPPN ini ditubuhkan pada 5 Jun lalu dengan empat anggota termasuk  pakar pemasaran dalam talian Mohd Najib Assadok.

Namun keanggotaan Mohd Najib menimbulkan pertikaian oleh beberapa pihak di media sosial yang rata-rata mempersoalkan latar belakangnya yang tiada kaitan dalam bidang pertanian.

Kini MPPN dianggotai Pengarah Eksekutif Leong Hup International Sdn Bhd Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang; Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Prof Datin Dr Fatimah Mohd Arshad dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Abdul Rahman Mamat yang dilantik sebagai Pengerusi majlis itu.