Malaysia Dateline

Majlis pengebumian, kenduri tahlil cetus kluster Covid-19

Satu kluster baharu jangkitan Covid-19 hari ini muncul di Tanjung Manis, Bahagian Mukah, Sarawak berpunca daripada satu majlis pengebumian dan kenduri tahlil pada 1 hingga 3 Mac lalu.

Kluster Rajang membabitkan individu dan kontak dari daerah Tanjung Manis, Sarikei dan Kuching.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes nombor 316,080, perempuan warganegara Malaysia berusia 54 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Mac hasil saringan kontak rapat,” dipetik kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini.

Hasil saringan terhadap 271 individu dalam kluster komuniti tersebut telah mengesan 29 kes positif setakat ini.

Kluster Rajang antara 10 kluster baharu dikesan hari ini dengan lapan daripadanya ialah kluster tempat kerja.