Malaysia Dateline

Majlis Presiden akan bincang isu penyertaan bekas ahli Umno

Isu berkaitan penyertaan wakil rakyat dan anggota Umno ke dalam Pakatan Harapan (PH) akan dibincangkan di Majlis Presiden gabungan parti dalam pakatan.

Ketua Setiausahanya Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu akan dibincangkan semula, walaupun perkara sama pernah dibangkitkan dalam mesyuarat terdahulu.

“Saya yakin apa yang berlaku (penyertaan anggota parti lain ke dalam PH) dalam pengetahuan pucuk pimpinan setiap parti dalam PH. Saya yakin mereka bijak untuk membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Saifuddin yang merupakan Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang hari ini, yang menempatkan 69 mangsa banjir.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas jika PH akan menerima wakil rakyat, pemimpin atau anggota Umno yang meninggalkan parti, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor, 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian yang meninggalkan parti kelmarin.

Perkembangan politik itu menimbulkan kebimbangan parti komponen dalam PH, jika mereka diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak mahu dilihat sebagai ‘mengutip sampah’ dengan cara membawa masuk ‘katak’ daripada Umno.