Majlis Presiden disaran segera cari kesepakatan tangani isu pertelagahan parti, bakal PM

Majlis Presiden disaran segera cari kesepakatan tangani isu pertelagahan parti, bakal PM

Perkembangan politik terkini dalam Pakatan Harapan (PH) memerlukan Majlis Presiden untuk segera bersidang bagi mencari kesepakatan dan persefahaman baru  dalam isu membabitkan pertelagahan parti dan siapa bakal Perdana Menteri, demi keutuhan PH.

Demikian disarankan oleh Naib Pengerusi 1, AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Dr Zaidi Zakaria

Menurut beliau, PH mempunyai lima parti komponen iaitu AMANAH, PKR,DAP Bersatu, dan Warisan.

Sehubungan itu katanya, mana-mana parti bergolak mampu menggoncang kestabilan dan kedudukan PH.

“Harus diingatkan bahawa sekiranya terdapat mana-mana dua parti bertelagah, ia akan memberi kesan kepada PH.

“Terkini, pergeseran yang memuncak dalam PKR sepertimana yang diketahui umum semasa Kongres Nasional di Melaka dan juga di Hotel Renaissance turut memberi impak kepada PH.

“Tidak dapat dinafikan mahupun disembunyikan kesan konflik tersebut ia akan mencalarkan imej PH, sekaligus membuka ruang kepada rakyat untuk menilai kestabilan PH sebagai kerajaan yang sedang memerintah dengan dokongan lima parti itu,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang. turut berkata, pengumuman jelas tarikh sebenar peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad  tidak harus dipandang enteng.

Pengumuman kedudukan sebenar beliau sebagai pengganti Dr Mahathir boleh menstabilkan kedudukan PH dan harus direalisasikan.

“Sebagai contoh berbalas kritikan agak keras antara pemimpin DAP dan Bersatu baru-baru ini walaupun atas kapasiti peribadi, tidak dapat dinafikan boleh menimbulkan persepsi politik yang boleh menggoncang PH.

“Meneliti iklim politik yang hangat ketika ini, maka sudah tiba masanya pengumuman rasmi perlu dibuat dengan terang dan jelas tarikh sebenar peralihan kuasa Perdana Menteri dari Tun M kepada Anwar.

“Sama ada tarikh tersebut adalah enam bulan dari sekarang maupun setahun dari sekarang, wajib diperjelaskan dengan terang kerana ia mampu menstabilkan kedudukan PH dan keyakinan rakyat selepas memberi mandat dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu,”ujarnya.

Jelas beliau, isu ini telah mengheret PH ke suatu situasi yang lebih kronik dan mesti diselesaikan dengan segera.