Malaysia Dateline

Majlis Presiden harus kembali ke manifesto PH, peralihan kuasa Mei 2020

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) seharusnya secara jelas memberikan komitmen terhadap tarikh peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataannya hari ini berkata, rakyat memerlukan jawapan yang jelas berkaitan perkara berkenaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad

“Antara yang rakyat mahukan jawapan yang jelas adalah, peralihan yang dijanjikan sebagaimana Muafakat Pakatan Harapan yang diumumkan pada 6 Januari 2018.

“Majlis Presiden PH harus secara jelas memberikan komitmen kepada tarikh tersebut (peralihan kuasa Mei 2020) sebagaimana yang pernah dinyatakan kepada rakyat.

“Ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan demi kebaikan negara kita. Sama ada penduduk kawasan saya yang ditemui di pasar, penjawat awam di Putrajaya mahupun ahli perniagaan, mereka semua mahukan jawapan yang jelas dalam perkara ini,” kata Nik Nazmi juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menyifatkan 2019 adalah tahun yang mencabar bagi negara melibatkan pelbagai sudut.

Katanya, walaupun Pakatan Harapan dapat membawa beberapa pencapaian luar biasa, termasuk dasar ekonomi pro-rakyat, pembaharuan institusi yang berterusan dan mengurangkan usia pengundian ke 18 tahun, namun kerajaan harus lebih ke hadapan terutamanya dalam reformasi ekonomi.

“Banyak perlu dilakukan, bukan sahaja dari segi mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menurunkan kos sara hidup, tetapi juga menjamin masa hadapan ekonomi kita untuk memastikan pekerja kita dapat bersaing dalam menghadapi perubahan teknologi yang berlaku begitu pantas.

“Usaha segera perlu dilakukan untuk mengurangkan kesenjangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kita. Perkara ini semakin membimbangkan, ia bukan sahaja berlaku antara kaum yang berbeza, tapi juga dalam kalangan kaum yang sama.

“Masalah ini pasti akan menimbulkan kebangkitan politik identiti agama dan kaum yang melampau yang kita sedang lihat berlaku sekarang, seperti di beberapa negara di seluruh dunia,” ujarnya lagi.

Hakikatnya Nik Nazmi berkata, negara tidak boleh menjadi aman dan progresif tanpa keadilan sosioekonomi.

“Tahun 2020 yang ikonik mestilah menjadi tahun pembaharuan untuk rakyat dan Pakatan Harapan mesti meneruskan proses reformasi institusi dan memaksimumkan pemodenan ekonomi negara,” katanya yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan.