Majlis Presiden Pakatan Harapan tonggak kekuatan umat Melayu Islam

Majlis Presiden Pakatan Harapan tonggak kekuatan umat Melayu Islam

Semua keputusan besar dalam Pakatan Harapan (PH) dibuat dalam Majlis Presiden. Keanggotaan Majlis Presiden PH adalah seramai 13 orang. Daripada 13 orang itu, 10 orang adalah Melayu beragama Islam.

Bagaimana mungkin Cina atau DAP atau bukan Islam boleh menguasai polisi dan pendirian PH atau kerajaan baru PH (jika menang PRU14) sehingga mahu menukar perlembagaan dan menggadaikan Islam dan Melayu?

Bagaimana mungkin Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng atau DAP keseluruhannya boleh mengatasi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Bandingkan pula dengan keanggotaan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang mana dari 16 orang anggota, hanya 5 orang sahaja yang beragama Islam (dan 4 orang dari Umno).

Majlis Presiden mana, BN atau PH yang lebih dominan orang Melayu dan Islam?

Majlis Presiden mana yang akan lebih mempertahankan malah meningkatkan kedaulatan Islam dan Melayu di tanah air tercinta, PH atau BN?

Jangan percaya fitnah yang menyatakan kerajaan PH akan menghancurkan Islam dan Melayu.

Malah PH akan lebih memperkukuhkan Melayu dan Islam dengan pemerintahan yang adil dan bersih.

Berikut adalah anggota Majlis Ptesiden PH:

Ketua Umum: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pengerusi: Tun Dr Mahathir Mohamad
Presiden: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan Presiden:
1. Tan Sri Mohd Muhyiddin Yasin
2. Hj Mohamad Sabu
3. Sdr Lim Guan Eng

Naib Presiden:
1. Sdr Salahuddin Ayub
2. Datuk Seri Mukhriz bin Mahathir
3. Datuk Seri Mohamed Azmin bin Ali
4. Sdr Chong Chien Jen
5. Sdr M Kulasegaran

Setiausaha: Datuk Saifuddin Abdullah
Bendahari: Hj Husam Musa

Daripada 14 orang Pengerusi Negeri, 10 orang adalah orang Melayu dan 4 orang Cina.

Berikut adalah anggota Dewan Tertinggi BN

Pengerusi: Datuk Seri Najib Razak (Umno)
Timb Pengerusi: Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi (Umno)

Naib Pengerusi:
1. Datuk Seri Liow Tiong Lai (MCA)
2. Datuk Seri Dr S. Subramaniam (MIC)
3. Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (PBB)
4. Datuk Dr Sim Kui Hian (SUPP)
5. Datuk Seri Mah Siew Keong (Gerakan)
6. Tan Sri M.Kayveas (myPPP) – telah meletakkan jawatan
7. Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang (LDP)
8. Tan Sri Joseph Kurup (PBRS)
9. Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO)
10. Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (PBS)
11. Datuk Seri Tiong King Sing (PDP)
12. Tan Sri Dr. James Jemut Masing (PRS)

Setiausaha Agung: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Umno)
Bendahari Agung: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Umno)
Ahli-ahli biasa dalam Majlis Tertinggi BN pula, hanya 2 orang Melayu sahaja dari keseluruhan 26 orang ahli Majlis BN.

SIRI MENJAWAB FITNAH

AUTA: Jika PH menang, kedudukan Raja-Raja dan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tergugat.

FAKTA: Kedudukan Raja-Raja dan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah walaupun atas sokongan 100% ahli Parlimen

Jangan percaya dakwaan jika PH menang, kedudukan Raja-Raja dan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tergugat .

Sebenarnya perkara-perkara ini telah terjamin tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Selagi Majlis Raja-Raja memainkan peranannya, selagi itu kedudukan Islam dan Melayu terpelihara.

Walaupun terdapat banyak perkara Perlembagaan Persekutuan yang boleh dipinda jika telah mendapat lebih dua per tiga undi di Parlimen, terdapat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan bahawa sesuatu undang-undang, termasuk untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diluluskan melainkan jika undang-undang tersebut mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu dalam beberapa perkara.

Dalam hal ini, Perkara 159(5) memperuntukkan:

“Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”

Perkara-perkara ini ialah berkaitan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan termasuk hal-hal berkaitan dengan Majlis Raja-Raja, Bahasa Melayu, agama Islam, kewarganegaraan, dan hak keitimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputra.

Maknanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam bidang-bidang tersebut memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu tidak timbul isu bahawa Perlembagaan terancam atau pun dapat diganggu gugat selagi Majlis Raja-Raja tidak bersetuju Perlembagaan itu dipinda, walaupun disokong penuh oleh Parlimen.#

…………….

AUTA: PH akan musnahkan Insitusi Melayu dan Bumiputera.

FAKTA: PH tetap pertahan institusi Melayu dan bumiputera, bahkan lebih baik dari BN.

Sejak bila masa pula pembangkang ingin menutup institusi Bumiputera kerana bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’? Ini satu dakwaan berat yang tidak berasas.

Tidak ada mana-mana bahagian dalam manifesto PH yang menyebutkan begitu.

Malah Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu telah mengulangi ikrar yang telah termaktub dalam Perjanjian PH (9 Januari 2016) iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Tambahan pula, Perkara 153 (2) Perlembagaan juga ada peruntukan supaya dirizabkan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Di bawah teras Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik dalam manifestonya, PH mahu mengukuhkan lagi institusi-institusi melayu dan bumiputera seperti Mara, Felda dan Tabung Haji tetapi berasaskan landasan yang betul dan tujuan sebenar ia ditubuhkan.

Ini kerana sudah terlalu banyak penyelewengan yang berlaku hinggakan matlamat dan potensi sebenar daripada institusi-institusi berkenaan dan dananya tidak dapat dimanfaatkan kepada penerima yang sewajarnya. Tambahan pula, jurang kekayaan dalam kalangan bumiputera sendiri telah semakin melebar.

Mara misalnya telah dikaitkan dengan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia yang didedahkan pada tahun 2015 melibatkan dana sejumlah RM129 juta. SPRM telah membuat siasatan termasuk mengambil dokumen di Australia. Seorang bekas menteri juga dipanggil untuk membantu siasatan.

Lebih malang, terdapat dakwaan penglibatan pemimpin Umno dalam skandal berkenaan. Malah, Pengerusi Mara pada waktu itu, Tan Sri Annuar Musa digantungkan tugas atas dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa yang berkait dengan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR telah mempersoalkan pengurangan biasiswa pendidikan Mara untuk bumiputera. Adakah wang yang disalahgunakan akhirnya memangsakan golongan bumiputera sendiri?

Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman yang mengesahkan bahawa dana Mara yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu itu telah dipulangkan kepada Mara. Kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan Umno.

Rakyat juga pernah dikejutkan dengan transaksi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual oleh 1MDB kepada Tabung Haji melibatkan sejumlah dana RM 188.5 juta yang juga wang pendeposit. Walhal kerajaan memberikan tanah tersebut kepada 1MDB sebelumnya dengan harga yang jauh lebih murah. Ditambah lagi dengan kerugian anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Heavy Engineering Berhad.

Dan juga termahsyur ialah skandal Felda – isu kerugian Felda Global Ventures (FGV), penjualan semula saham FGV oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah KWSP rugi RM 203.18 juta dan pemberian dan pengembalian tanah di Jalan Semarak yang meragukan.

Justeru, meskipun kita boleh berbangga dengan institusi orang melayu dan kononnya ia memberi manfaat kepada orang Melayu dan Bumiputera, namun kita tidak boleh berdiam diri terhadap penyelewengan besar yang berlaku. Terlalu ramai yang menangguk di air keroh dan menafikan manfaat sebenar yang boleh disampaikan.

Oleh itu, sementara prinsip mengukuhkan dan memperkasakan institusi dipegang, Pakatan Harapan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan untuk menyiasat secara terperinci dan berasingan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, Mara, Felda dan Tabung Haji. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan tindakan susulan yang sesuai, serta mekanisme terperinci untuk menyelesaikan skandal-skandal besar tersebut.

Selain itu, struktur pentadbiran setiap institusi berkenaan akan dikaji semula untuk memastikan wujud semak imbang yang efektif.

Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahukan perubahan negara ke arah yang positif, dan tidak mahu bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada UMNO BN untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.#

………….

AUTA: Ekonomi kukuh, pendapatan rakyat meningkat, rakyat makmur, GST bagus untuk semua.

FAKTA: Polisi kerajaan BN termasuk GST yang mengenakan cukai kepada semua orang (kaya atau miskin) dan menyumbang kepada peningkatan harga barangan dan kos sara hidup

GST ialah cukai yang dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan tertentu. Ia tidak membezakan yang kaya atau miskin. Jika anda membeli sesuatu barangan, sebagai pengguna anda pasti membayar harga yang lebih mahal dari harga asal kerana penjual akan mengenakan GST. Peniaga kecil pula tidak boleh mengenakan GST kepada pengguna, walaupun mereka dikenakan GST ketika membeli barangan secara borong. Oleh kerana kos operasi perniagaan meningkat, mereka terpaksa menaikkan harga barangan yang dijual kepada pengguna. Akibatnya, tidak hairanlah jika rakyat merasa kesempitan dan keperitan hidup.

Menurut laporan Bank Dunia, pada tahun 2016, KDNK per-kapita untuk Malaysia adalah USD9,503 sementara untuk Singapura adalah USD52,961. Singapura mampu memperkenalkan GST (dengan kadar hanya 3%) kerana ekonominya jenis pendapatan tinggi, 5.6 kali ganda lebih tinggi daripada Malaysia. Inilah sebab mengapa peniaga-peniaga kecil di Malaysia dan rakyat biasa menderita teruk berbanding dengan Singapura.

Jika ekonomi pendapatan rendah seperti Malaysia memperkenalkan GST ia pasti mengalami kadar inflasi dan kos kehidupan yang naik melambung. Rakyat Malaysia dari kelas menengah ke bawah mendapati kehidupan mereka telah menjadi lebih miskin secara relatif, di mana kadar kenaikan gaji mereka gagal bertanding dengan kadar inflasi atau kadar pertumbuhan KDNK.

Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan untuk rangkaian hypermarket Mydin, berkata bahawa hypermarket dan supermarket di Malaysia yang menguasai 50% pasaran runcit di Malaysia telah mengalami pertumbuhan negatif kerana orang ramai tiada duit.

Menurutnya, sungguhpun kadar pertumbuhan KDNK adalah 5.9% pada tahun 2017, jualan runcit telah menurun akibat dari harga barangan yang naik mendadak., sekitar 20-30 peratus.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad masih merupakan Perdana Menteri, beliau enggan memperkenalkan GST walaupun pada masa Malaysia menghadapi krisis ekonomi teruk, kerana beliau sedar dengan kesan impak enonomi buruk yang datang bersama GST khasnya terhadap golongan miskin dan perniagaan kecil.

Regim BN masa kini tidak peduli dengan masalah ini, dan hanya ingin mencari jalan mengutip wang bagi menutup “lubang kewangan” yang diakibatkan oleh skandal-skandal kewangan, khasnya skandal 1MDB yang bernilai RM52 bilion.

Satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghalang kenaikan kadar GST adalah menerusi penghapusannya. Inilah janji PH. Kami akan hapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama kami mengambil alih kuasa pemerintahan, dan kami akan memulihkan Cukai Jualan dan Khidmat (SST).

Sebaliknya, BN terus memuji GST sebagai sesuatu yang diperlukan demi menyelamatkan Malaysia. Pilihannya adalah jelas. Dengan memberikan sokongan kepada BN, GST bukan sahaja akan dikekalkan, malah kemungkinan besar akan dinaikkan kadarnya pada masa hadapan. Hanya dengan menggantikan BN dengan PH, barulah GST akan dihapuskan sama sekali.

…………

AUTA: Melayu dan Islam terpinggir oleh kerajaan DAP Pulau Pinang

FAKTA: Banyak polisi dan tindakan kerajaan PH Pulau Pinang lebih baik untuk Islam dan Melayu berbanding kerajaan BN dahulu.

Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2008, kerajaan Pulau Pinang PH telah memperkenalkan banyak program yang bertujuan untuk membantu rakyat, termasuk orang Melayu.

Salah satunya adalah melalui pelaksanaan sistem tender terbuka yang mampu menghentikan amalan kronisme dan memberi peluang kepada semua berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.

Melalui pelaksanaan sistem tersebut, sekurang-kurangnya 70 peratus kontrak kerajaan telah dianugerahkan kepada syarikat Melayu dan bumiputera.

Selain itu, kerajaan PH Pulau Pinang juga telah memperkenalkan banyak program bantuan kewangan termasuk Agenda Ekonomi Saksama yang berjaya membantu 1,375 keluarga bagi tahun 2016 di mana 81 peratus penerima bantuan itu adalah dari kaum Melayu.

“Melalui program berkebajikan pro-rakyat ini, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang berjaya menghapuskan kemiskinan tegar,” ujarmya.

Selain itu, antara pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang lain yang membela Melayu dan Islam adalah:

• Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah bernilai RM36 juta sebagai usaha meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang
• Mendapatkan tanah dari bukan Islam untuk tujuan meluaskan tanah perkuburan Islam di negeri itu
• Memperuntukkan dana kepada pembangunan hal ehwal Islam sebanyak RM55.85 juta bagi tahun 2016 sahaja. Sedangkan hanya RM37.86 juta diperuntukkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2007
• Menganugerahkan biasiswa kepada pelajar-pelajar Muslim melalui Zakat Pulau Pinang. RM600 diberi kepada pelajar Sekolah Agama Rakyat manakala dana RM20,000 diperuntukkan untuk pelajar Muslim menyambung pengajian di peringkat universiti.

Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM457 juta kepada hal-ehwal agama sejak 2008, iaitu peningkatan 84% berbanding RM249 juta bagi tempoh masa yang sama panjang sebelum 2008 ketika dipimpin oleh Barisan Nasional.

Peruntukan untuk sekolah agama di negeri telah berjumlah RM55.3 juta sejak tahun 2008.
Sekolah agama tidak hanya menerima RM1.75 juta setiap tahun, tetapi jumlah yang lebih besar, di bawah portfolio Exco bagi hal-ehwal agama Islam.

Tidak hairanlah jika MCA sendiri menyelar DAP atas dasar yang dikatakan pro Melayunya:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/27/mca-persoal-pulau-pinang-di-bawah-dap-lebih-banyak-bantu-melayu/

“…MCA menyelar DAP yang berkata parti itu meminggirkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu, dan mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang kerana lebih banyak membantu Bumiputera daripada kumpulan lain.

“Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, dalam hanya 8 tahun, ketua menteri Pulau Pinang membelanjakan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam di negeri itu, tetapi memperuntukkan cuma RM7.7 juta yang diagihkan kepada semua agama lain,” kata Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam kenyataannya.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan RM8 juta oleh kerajaan Pulau Pinang kepada 20 buah sekolah aliran agama, di samping pemberian 90% kontrak kerajaan kepada Bumiputera.

“Dibandingkan era Dr Mahathir, Pulau Pinang di bawah DAP lebih banyak memperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera,” kata Chai…”.

CATEGORIES